TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM beku 12 akaun, sita aset sindiket vape

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 24 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan 12 akaun serta menyita beberapa aset susulan pembongkaran sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai melibatkan rokok elektronik atau vape.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan tersebut dibuat susulan penahanan enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat yang terbabit sindiket itu.

Beliau berkata, Bahagian Perisikan SPRM sudah merampas beberapa dokumen berkaitan seperti Airway Bill, pesanan pembelian, baucar pembayaran, pesanan penghantaran, dokumen Electronic Pre-Alert Manifest (ePAM), dokumen K1 serta beberapa dokumen lain yang berkaitan.

Selain itu kata beliau, terdapat beberapa aset alih berkaitan kes turut disita dan sejumlah 12 akaun dibekukan buat masa ini.

 

“Kesemua pegawai kastam yang ditahan bermula dari gred WK19 sehingga WK22.

“Salah seorang daripada mereka berperanan sebagai 'collector' yang menerima rasuah sebanyak RM4,000 sehingga RM6,000 sehari.

"Jumlah rasuah itu kemudiannya akan diagih-agihkan antara pegawai kastam terlibat," katanya pada Jumaat.

Menurut Azam, Bahagian Perisikan SPRM sudah mengenal pasti penerbangan yang membawa masuk vape yang dirampas baru-baru ini iaitu dari Macau dan Hong Kong.

Namun begitu katanya, usaha berterusan dilakukan SPRM bagi memastikan negara asal barangan itu diseludup.

Jelasnya, barangan rokok elektronik itu dibawa masuk ke Malaysia dengan cara pengikraran yang tidak betul, bermula dari negara yang diseludup.

Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai mempunyai rangkaian antarabangsa untuk membuat pengikraran tidak betul bagi mengelirukan pihak berkuasa negara.

Beliau berkata, pengikraran yang tidak betul menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengesan barangan seludup tersebut dan melepasi sekatan pemeriksaan di pintu keluar kastam.

Selain itu kata beliau, ikrar tidak betul dilakukan bagi membolehkan bayaran rasuah diberikan, seterusnya membolehkan vape diseludup tidak diperiksa.

Jelasnya, barangan berkenaan dinyatakan di dalam Airway Bill sebagai Lithium Ion Battery dan langsung tidak diikrarkan ke dalam sistem ePAM ataupun borang K1.

"Ada pegawai Kastam dan pengarah syarikat lain kini berada dalam radar SPRM.

"Siasatan dan risikan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, Bahagian Perisikan SPRM juga masih giat menjalankan siasatan dan penglibatan suspek-suspek lain yang sedang dikenal pasti. - Sinar Harian

+ - reset