TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Waspada 2 'hotspot' angin lintang di PLUS Negeri Sembilan, sering berlaku kemalangan - Bomba

By
|
Kongsi
image

NILAI 24 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sembilan menasihati pengguna jalan raya agar lebih berwaspada di dua lokasi kawasan angin lintang di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang berisiko mengakibatkan kemalangan.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Negeri Sembilan, Penguasa Kanan Bomba II Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi, berkata dua lokasi terbabit berada dalam jajaran negeri ini yang bermula di Kilometer (KM) 222 sempadan Melaka hingga Hentian Senawang serta KM267 Ainsdale hingga Seri Putera.

"Kedua-dua lokasi ini adalah kawasan 'hotspot' kemalangan yang sering berlaku, dan antara faktornya ialah angin lintang dan kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

"Oleh itu, pengguna perlu sentiasa berhati-hati serta berwaspada ketika pemanduan, terutama pada musim perayaan dengan jumlah kenderaan turut meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan Op Raya Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Faiz Muin berkata, seramai 150 anggota bersama 26 jentera serta tiga van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah bersiap sedia untuk Op Siaga Raya yang akan bermula 28 Januari hingga 2 Februari depan.

Beliau berkata, satu jentera turut diletakkan secara statik di Tol Pedas, manakala Unit Rapid Intervention Motorcycle JBPM negeri akan melakukan rondaan secara berkala di kawasan lebuh raya hingga ke Nilai bagi memastikan keadaan terkawal.

Beliau sekali gus menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung dan meninggalkan rumah bagi tempoh lama, terutama pada musim perayaan, supaya sentiasa peka serta menutup semua suis elektrik yang tidak digunakan.

"Sebelum meninggalkan rumah, periksa apa-apa yang boleh menyebabkan kebakaran, terutama suis punca kuasa seperti lampu, kipas dan penapis air, bagi memastikan rumah berada dalam keadaan selamat serta mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku," katanya. - Bernama

+ - reset