TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mondy Tattoo diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Jan - Pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo diarah membayar RM20,000 kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew sebagai ganti rugi kerana memfitnah pendakwah itu merogolnya.

Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas meneliti dan mendengar hujah Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit selaku plaintif.

Perkara itu kemudian dikongsi Ebit menerusi hantaran di laman sosialnya, hari ini.

"Alhamdulillah syukur pada Allah, saya menang saman pada Mondy atau Dita Restu dan beliau diminta membayar RM20,000 kepada saya," katanya.

Menerusi hantarannya, Ebit turut berkongsi tangkap layar writ saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Berdasarkan dokumen itu, Mondy diperintah membayar ganti rugi am sebanyak RM20,000 berserta faedah sebanyak 5 peratus setahun bermula daripada tarikh pemfailan writ saman sehingga tarikh penyelesaian penuh kes.

Ebit turut memaklumkan samannya terhadap Caprice yang menyiarkan 'podcast' (audio siar) berkaitan dakwaan terbabit akan berlangsung pada Mei ini.

Sebelum ini, Mondy membuat laporan polis berhubung gangguan seksual ke atas dirinya oleh pendakwah terbabit.

Ebit juga membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya serta satu lagi laporan penafian kes gangguan seksual.

Pada 6 Jun tahun lalu, Ebit dilaporkan tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

Pada 26 September 2023, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun 2023.

+ - reset