Berita Berita
'Kita dah latih hingga mahir, tapi akhirnya pilih ke Singapura demi gaji - Presma
KUALA LUMPUR 22 Jan - Tidak timbul isu lambakan pekerja asing dalam sektor makanan dan minuman (FNB) khususnya bagi premis restoran 24 jam, sebaliknya masalah utama yang dihadapi ketika ini adalah kekurangan tenaga kerja.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata, salah satu punca utama kekurangan pekerja ini adalah disebabkan oleh pekerja yang 'tergoda' dengan tawaran gaji lebih tinggi oleh pihak lain.
"Fenomena ini mula timbul ketika tempoh peralihan pasca Covid-19 dan dikhuatiri akan terus berulang sekiranya tiada langkah penyelesaian segera diambil.
"Kalau ada apa-apa aduan, pekerja boleh mengadu dan jika melibatkan isu layanan, mereka boleh terus pergi membuat aduan di kedutaan masing-masing. Pematuhan dan penguatkuasaan oleh kementerian melalui pihak berkuasa juga berjalan dengan baik.
"Namun, masalah utama adalah tindakan pihak tertentu yang mengambil pekerja asing secara tidak sah daripada restoran-restoran yang telah berdaftar," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), Datuk J Govindasamy, yang turut menyuarakan kebimbangan sama.
Beliau menegaskan bahawa sektor restoran kini mengalami kekurangan kira-kira 25,000 tenaga kerja asing yang diperlukan untuk menampung operasi harian.
Berdasarkan data terkini Kementerian Sumber Manusia, sektor restoran di Malaysia ketika ini mempunyai lebih kurang 150,000 pekerja asing berdaftar, namun angka ini masih jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan industri yang semakin berkembang. Sebelum pandemik, jumlah pekerja asing dalam sektor ini mencecah 200,000 orang.
Dalam pada itu, Jawahar menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengabaikan usaha untuk mengambil pekerja tempatan bagi menampung kekurangan ini.
Bagaimanapun, persaingan dari segi tawaran gaji yang lebih tinggi di negara jiran seperti Singapura menyebabkan ramai pekerja tempatan memilih untuk bekerja di luar negara.
"Kami telah melatih lebih 500 pekerja tempatan sebelum pandemik untuk bekerja dalam sektor ini, namun ramai daripada mereka beralih ke sektor lain atau mencari peluang di luar negara selepas mendapat pengalaman. Ini merupakan satu cabaran besar bagi kami," tambahnya.
Presma dan Primas turut menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa langkah penyelesaian, termasuk memperkenalkan semula dasar 'Checked-Out Memo' (CMO) yang membolehkan pekerja asing yang tamat kontrak digantikan dengan pekerja baru secara lebih pantas. Selain itu, mereka juga berharap agar had umur maksimum pekerja asing yang kini ditetapkan pada 45 tahun dapat dilanjutkan bagi memenuhi keperluan industri.
"Kami juga berharap kerajaan dapat menangguhkan sistem levi berperingkat kerana ia menambah beban kos kepada pengusaha restoran yang sudah sedia terjejas akibat kenaikan harga bahan mentah," kata Govindasamy.
Pihak industri kini berharap kerajaan dapat memberikan perhatian serius terhadap isu ini agar sektor restoran, yang menjadi salah satu tarikan utama pelancongan di Malaysia, dapat terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Berita berkaitan
January 22, 2025, 6:55 pm
Wanita pukul anak 6 tahun sampai mati dipenjara 3 tahun
January 22, 2025, 6:43 pm
Mondy Tattoo diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew
January 22, 2025, 5:47 pm
'Kami bukan mengada-ngada' - Presma, Primas rayu kerajaan longgar peraturan kemasukan pekerja asing
January 22, 2025, 3:59 pm
BNM kekalkan OPR pada 3 peratus
January 22, 2025, 3:47 pm
PLUS aktifkan smart lane di 25 lokasi sempena Tahun Baharu Cina
January 22, 2025, 3:35 pm
Kedai serbaneka disimbah cat merah, UM buat laporan polis
January 22, 2025, 3:29 pm
Wanita maut, motosikal dirempuh dari belakang
January 22, 2025, 2:42 pm