TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kami bukan mengada-ngada' - Presma, Primas rayu kerajaan longgar peraturan kemasukan pekerja asing

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 22 Jan - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) merayu kepada kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran membabitkan peraturan kemasukan pekerja asing bagi menampung kekurangan tenaga kerja yang kritikal dalam sektor restoran.

Menurut kedua-dua persatuan berkenaan, sektor ini berdepan kekurangan tenaga kerja seramai 25,000 orang yang memberi kesan buruk kepada operasi harian restoran di seluruh negara.

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, menegaskan bahawa langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan masalah ini terus berlarutan yang mana ketika ini, kurang daripada 18 peratus pekerja asing yang berdaftar berkhidmat dalam sektor restoran di Malaysia.

"Kami berharap kerajaan mempertimbangkan semula tiga perkara utama, iaitu memperkenalkan kembali dasar gantian pekerja menerusi sistem 'Checked-Out-Memo' (CMO), menaikkan had umur pekerja asing dan menangguhkan pelaksanaan sistem levi berperingkat," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Jawahar, sistem gantian pekerja asing yang pernah dilaksanakan sebelum ini membolehkan pemilik restoran menggantikan pekerja yang pulang ke negara asal dengan pekerja baru secara segera, namun dasar ini telah dihentikan.

"Kami bukan mengada-ngada, tapi inilah hakikat yang perlu diterima. Jika dulu kita mempunyai 10 kuota pekerja dan seorang pulang ke negara asal, kita boleh segera menggantikannya. Sistem ini sangat membantu, dan kami berharap kerajaan dapat mengembalikannya untuk memastikan kelangsungan operasi restoran," katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar had umur pekerja asing dinaikkan bagi menampung kekurangan tenaga kerja sedia ada, mengambil kira bahawa sektor restoran bergantung kepada tenaga kerja berpengalaman.

"Dalam sektor restoran, jumlah pekerja asing tidak mencecah 50,000 orang. Jika had umur dinaikkan seperti di negara jiran, kita dapat mengekalkan pekerja yang sudah terlatih dan berpengalaman dalam industri ini," jelasnya.

Satu lagi isu yang menjadi kebimbangan utama adalah kos levi yang meningkat secara mendadak. Jawahar menyatakan bahawa kenaikan levi pekerja asing yang tinggi telah memberi tekanan kepada pengusaha restoran, menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan alternatif yang lebih mahal dan tidak lestari.

"Kos yang tinggi menyebabkan kami sukar untuk mengambil pekerja baru. Kami berharap kerajaan dapat menangguhkan pelaksanaan sistem levi berperingkat untuk meringankan beban pengusaha restoran," tambahnya.

Dalam pada itu, Presiden Primas, Datuk J Govindasamy, turut menyeru kerajaan supaya mempertimbangkan semua permohonan yang telah dikemukakan oleh pihak persatuan bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja di sektor ini.

Beliau menekankan kepentingan sistem CMO yang pernah digunakan sebelum ini sebagai penyelesaian terbaik untuk memastikan keperluan tenaga kerja restoran dipenuhi.

"Kami merayu kerajaan untuk mengembalikan sistem CMO kerana ia membantu menangani isu pekerja yang terpaksa pulang atas sebab peribadi seperti perkahwinan atau kecemasan keluarga. Dengan adanya sistem ini, penggantian pekerja dapat dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.

Govindasamy turut menekankan kepentingan industri makanan di Malaysia yang terkenal sebagai destinasi gastronomi bertaraf dunia. Beliau berharap kerajaan dapat mengambil langkah proaktif untuk menjadikan sektor restoran di Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Malaysia adalah syurga makanan, dan pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan di bawah satu bumbung pada harga yang berpatutan. Oleh itu, kami merayu kementerian dan agensi berkaitan untuk memberi perhatian serius terhadap isu ini," ujarnya.

Presma dan Primas telah menghantar surat rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi kawal selia pekerja asing bagi memohon pertimbangan sewajarnya. Kedua-dua persatuan kini menantikan jawapan positif daripada pihak kerajaan dalam usaha memastikan sektor restoran dapat terus beroperasi dengan lancar dan memenuhi keperluan pelanggan di seluruh negara. - Media Telus

+ - reset