TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut, motosikal dirempuh dari belakang

By
|
Kongsi
image

HULU SELANGOR – Seorang wanita berusia 53 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Batang Kali-Ulu Yam Bharu berhampiran Sekolah Menengah Syed Mansor, sekitar pukul 11.40 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kemalangan berlaku ketika seorang lelaki berusia 19 tahun sedang menunggang motosikal dari arah Rasa menuju ke Ligamas. Lelaki tersebut disyaki telah melanggar belakang motosikal yang ditunggang wanita berkenaan yang datang dari arah yang sama.

"Akibat perlanggaran itu, lelaki terbabit tercampak ke tepi jalan dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu, manakala wanita tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya dalam satu kenyataan.

Punca Kematian: Kecederaan Trauma Otak
Mohd Asri menjelaskan bahawa bedah siasat yang dilakukan pada pukul 10 pagi tadi mendapati punca kematian wanita tersebut adalah disebabkan kecederaan trauma pada otak.

Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Media Telus

+ - reset