TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya juga melalui neraka itu' - Anwar pertahan keputusan pengurangan hukuman penjara terhadap Najib

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Jan - Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan kerajaan Malaysia memberikan pengurangan hukuman penjara kepada Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 

Dalam temuramah dengan Financial Times di United Kingdom (UK), Perdana Menteri mengimbau pengalaman beliau ketika menjalani hukuman penjara sebelum ini, yang kini sedang dilalui Najib. 

"Saya juga melalui neraka itu dan kurungan bersendirian. Saya tidak diberi makanan luar kecuali makanan penjara. 

"Bagaimanapun, adakah saya perlu melayan Najib dengan cara yang sama? Saya katakan tidak, maksud saya, beliau adalah perdana menteri (sebelum ini)," katanya.

Pada Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Najib turut perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Anwar, bagaimanapun menegaskan, beliau tidak bersedia untuk memaafkan dakwaan rasuah di Malaysia yang berlaku di bawah pendahulunya, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Beliau juga mendakwa, Dr Mahathir membenarkan penganiayaan terhadapnya ketika pertama kali memasukkan beliau ke penjara pada 1990-an. 

Dr Mahathir menafikan dakwaan rasuah itu dan sedang meneruskan tuntutan saman fitnah terhadap Anwar.

"Saya diserang dan hampir mati. Saya sudah maafkan, saya mahu teruskan.

"Bagaimanapun, mencuri daripada wang awam, berbilion dan saya tidak mempunyai kuasa untuk memaafkan anda. Anda kembalikan dana itu," katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menyuarakan pandangan yang dipegang secara meluas di negara membangun, yang menyifatkan kuasa barat bersikap hipokrit dalam menyokong serangan tentera Israel di Gaza.

"Terdapat defisit kepercayaan dalam kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun kerana kuasa besar tidak mematuhi peraturan asas undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, barat tidak henti-henti bercakap mengenai demokrasi dan pembaharuan, namun tidak begitu membantu untuk melaksanakannya.

"Tiada apa-apa yang dilakukan untuk membantu (rantau ini). Hanya ada pembabitan dalam perdagangan dan pelaburan," katanya.

+ - reset