TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AI dalam penjagaan kesihatan tingkat kecekapan, kurangkan pembaziran - Anwar

By
|
Kongsi
image

DAVOS 22 Jan. - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan, malah dapat membantu mengurangkan pembaziran dari segi kos, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sejak menerajui kerajaan, dua keutamaan beliau ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Saya fikir ia adalah sangat tidak adil… dalam falsafah politik saya untuk menafikan sebahagian besar (rakyat) kemudahan kesihatan terbaik, dan sudah tentu infrastruktur asas di hospital dan AI memainkan peranan penting di dalamnya.

"Melalui AI, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos," katanya pada sesi 'Country Strategy Dialogue' di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) Sidang Kemuncak Tahunan 2025, di Switzerland.

Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta dalam sesi yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu, berhubung pandangan beliau mengenai AI dan sistem kesihatan awam.

Perdana Menteri kini dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri WEF 2025, yang pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2022.

Sementara itu Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang turut hadir pada sesi itu berkata bagi membolehkan AI berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan, infrastruktur yang perlu mesti disediakan.

"Anda mempunyai banyak data, kebanyakannya masih dalam bentuk analog, dan anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan ia digital secepat mungkin. Anda perlu mempunyai mekanisme yang membolehkan data itu dikongsi.

"Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas, dan itu adalah langkah pertama. Akhirnya, ia adalah mengenai pembinaan ekosistem," katanya.

Beliau berkata di sinilah peranan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

"Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, bermula dengan Kementerian Kesihatan. Kami libatkan pegawai daripada kementerian, termasuk menteri, untuk mengenal pasti dan mengutamakan bidang tumpuan utama.

Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengumpul pandangan dan memahami bidang tertentu yang memerlukan perhatian segera, memastikan usaha itu disasarkan dan berkesan," katanya. - Bernama

+ - reset