TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Hamas bebaskan 4 tebusan Israel, Israel lepaskan 90 tahanan Palestin pada hari pertama gencatan senjata

By
|
Kongsi
image

GAZA 20 Jan - Hamas telah membebaskan tiga tebusan Israel, sementara Israel melepaskan 90 tahanan Palestin pada hari pertama gencatan senjata yang bertujuan menghentikan perang selama 15 bulan di Gaza, yang telah menyebabkan kemusnahan besar dan ketegangan di Asia Barat.  

Tiga wanita Israel yang dibebaskan disatukan semula dengan keluarga mereka di Israel, manakala suasana meriah menyelubungi bandar Beitunia di Tebing Barat yang diduduki. Sorakan, nyanyian, dan bunyi hon kereta mengiringi ketibaan dua bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel.  

Bas tersebut membawa sebahagian daripada 90 tahanan yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang bermula semalam.  

Sejurus selepas gencatan senjata dikuatkuasakan, ribuan rakyat Palestin yang terjejas akibat perang mula kembali ke rumah mereka di seluruh Semenanjung Gaza. Di Jabalia, ratusan penduduk berjalan melalui laluan berpasir menuju ke kawasan yang kini dipenuhi runtuhan dan bangunan yang musnah.  

Gencatan senjata selama 42 hari ini dimeterai dengan perantaraan Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir, bertujuan membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza serta pertukaran lebih ramai tahanan antara kedua-dua pihak.  

Di Tebing Barat, lelaki Palestin mengibarkan bendera Hamas dan Hizbullah di atas bas milik Palang Merah yang membawa tahanan yang dibebaskan dari penjara tentera Ofer. Mereka disambut meriah oleh ahli keluarga dan rakan-rakan di Beitunia, berhampiran Ramallah.  

Tiga tebusan wanita Israel, Emily Damari, Romi Gonen, dan Doron Steinbrecher, dihantar ke sebuah hospital di tengah Israel selepas diserahkan oleh Hamas kepada Palang Merah di Gaza.  

Sementara itu, seramai 33 tebusan Israel, 31 daripadanya ditahan oleh Hamas sejak serangan 7 Oktober 2023, dijadualkan dibebaskan sebagai pertukaran bagi kira-kira 1,900 tahanan Palestin. Menurut pihak berkuasa Israel, lebih 230 daripada tahanan Palestin yang dihukum penjara seumur hidup atas serangan maut terhadap rakyat Israel dijangka dihantar ke luar negara, termasuk Qatar dan Turkiye.  

Pertukaran tahanan dan tebusan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Sabtu depan, menurut seorang pegawai kanan Hamas.  

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik gencatan senjata ini, dengan menegaskan ia adalah langkah penting untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Gaza serta membuka ruang kepada penyelesaian jangka panjang.  

Namun begitu, fasa kedua gencatan senjata masih belum dimuktamadkan, dengan rundingan masih diteruskan bagi mencapai perjanjian kekal.  

Gencatan senjata yang dijadualkan bermula lebih awal mengalami kelewatan hampir tiga jam, di mana dalam tempoh tersebut tentera Israel dilaporkan meneruskan operasi mereka. Agensi pertahanan awam Gaza turut melaporkan 19 kematian dan 25 kecederaan dalam serangan terakhir sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan. - AFP

+ - reset