Berita Dunia
Beratus pegawai polis kepung kediaman sebelum subuh, Presiden Korea Selatan ditahan

SEOUL 15 Jan – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol ditahan hari ini selepas beratus-ratus penyiasat antirasuah dan polis menyerbu kediaman beliau untuk menamatkan kebuntuan selama berminggu-minggu.
Suk-yeol yang didakwa melakukan pemberontakan berhubung usaha jangka pendeknya untuk mengenakan undang-undang tentera pada bulan lalu, ialah presiden pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditangkap.
Beratus-ratus pegawai polis dan penyiasat dari Pejabat Siasatan Rasuah memenuhi jalan masuk ke kediaman Presiden sebelum subuh hari ini.
Ia adalah usaha kedua mereka untuk menangkap Suk-yeol.
Percubaan pertama pada 3 Januari lalu gagal selepas kebuntuan selama berjam-jam dengan anggota Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS), yang enggan berganjak apabila penyiasat cuba melaksanakan waran mereka.
Peguam Suk-yeol mengumumkan pada pagi ini bahawa Presiden tersebut telah bersetuju untuk bercakap dengan penyiasat.
“Presiden Yoon (Suk-yeol) memutuskan untuk hadir sendiri di Pejabat Siasatan Rasuah hari ini,” kata Seok Dong-hyeon di laman Facebook.
Bagaimanapun, penyiasat tidak lama selepas itu mengumumkan bahawa Suk-yeol telah ditangkap.
“Ibu Pejabat Siasatan Bersama melaksanakan waran tangkap untuk Presiden Yoon Suk-yeol hari ini (15 Januari) pada pukul 10.33 pagi (waktu tempatan),” kata mereka dalam satu kenyataan.
Wartawan AFP melaporkan berlakunya sedikit pergelutan di pintu pagar, di mana penyokong tegar Suk-yeol berkhemah untuk melindunginya, ketika pihak berkuasa mula mengerumuni pekarangan itu.
Sementara itu, Suk-yeol menerusi mesej video yang dirakam berkata, beliau memutuskan untuk disoal siasat bagi mengelakkan pertumpahan darah walaupun beliau percaya siasatan itu adalah menyalahi undang-undang.
“Saya memutuskan untuk bertindak balas kepada Pejabat Siasatan Rasuah. Saya tidak menerima kesahihan siasatan itu tetapi mematuhinya untuk mengelakkan sebarang pertumpahan darah,” katanya.
Suk-yeol boleh ditahan sehingga 48 jam berdasarkan waran sedia ada. Penyiasat bagaimanapun perlu memohon satu lagi waran tangkap untuk mengekalkannya dalam tahanan. – AFP
Berita berkaitan
April 18, 2025, 11:51 am
Empat maut, kereta kabel terjatuh ke gaung
April 16, 2025, 1:01 pm
Sudan bergolak semula, RSF isytihar kerajaan baharu ketika krisis kemanusiaan memuncak
April 16, 2025, 11:26 am
PM Kemboja sampaikan takziah, kenang sumbangan Tun Abdullah
April 16, 2025, 11:20 am
Raja Salman, Putera Mahkota Arab Saudi ucap takziah atas pemergian Pak Lah
April 15, 2025, 6:03 pm
Parlimen Singapura dibubar, pilihan raya umum Ke-14 pada 3 Mei
April 10, 2025, 7:56 am
Trump tangguh tarif timbal balik ke atas lebih 75 negara selama 90 hari
April 8, 2025, 12:29 pm
Gempa bumi sederhana landa Utara Sumatera
April 6, 2025, 1:36 pm
Ribuan rakyat AS mulakan protes tolak dasar Trump, desak pertahankan demokrasi
April 3, 2025, 9:55 am
AS kenakan tarif timbal balik baharu, Malaysia terlibat
March 30, 2025, 10:22 am