Berita Berita
'Doktor pakar tinggalkan pesakit untuk keluar minum, tinggalkan pesakit kritikal dengan jururawat tidak berdaftar, pusat bersalin diarah bayar RM6 juta'
KUALA LUMPUR 9 Jan - Dua doktor yang memiliki gabungan lebih 60 tahun pengalaman dalam bidang perbidanan, termasuk mengendalikan lebih 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kecuaian perubatan setelah meninggalkan seorang pesakit yang mengalami pendarahan kritikal di bawah jagaan jururawat tidak berdaftar semata-mata untuk keluar minum.
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr. M Shanmugam dan Dr. A Ravi, bersama tiga jururawat yang terlibat — Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa, dan Nessy Yasah — perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita, yang meninggal dunia akibat kecuaian perubatan ketika menerima rawatan selepas bersalin.
Punita, 36, meninggal dunia beberapa jam selepas melahirkan anak keduanya di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr. Shanmugam pada 9 Januari 2019.
Dia mengalami pendarahan selepas bersalin (PPH) setelah plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun keadaan pesakit dikatakan stabil, Dr. Ravi meninggalkan klinik dan menyerahkan penjagaan Punita kepada tiga jururawat tidak berdaftar yang tidak mempunyai kelayakan atau pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr. Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan keadaan pesakit. Ibu Punita yang datang kemudian mendapati anak perempuannya sedang mengalami pendarahan yang banyak, sementara jururawat cuba menghentikan pendarahan tersebut dengan kapas.
Kedua-dua doktor itu tidak hadir pada waktu kritikal tersebut.
Punita kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk rawatan lanjut.
Namun, doktor di HTAR menyatakan bahawa keadaan Punita sudah sangat kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, menyebabkan pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun usaha pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, Punita meninggal dunia, meninggalkan dua anak kecil.
Hakim Norliza Othman dalam penghakimannya menyatakan Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menangani komplikasi selepas bersalin.
Beliau juga menekankan kegagalan kedua-dua doktor untuk bertindak segera dan kelewatan dalam memindahkan pesakit ke hospital yang lebih lengkap.
“Walaupun kedua-dua doktor ini berpengalaman luas, mereka gagal menjangka komplikasi yang biasa berlaku selepas bersalin, seperti pendarahan selepas bersalin.
Mereka meninggalkan pesakit tanpa memastikan keadaan yang stabil, dan jururawat yang tidak berkelayakan diberikan tanggungjawab mengendalikan pesakit,” kata hakim.
Tambahnya lagi, “Kes ini sangat tragik dan boleh dielakkan jika kedua-dua doktor bertindak pantas. Kecuaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat.”
Mahkamah kemudian mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM5,993,936 kepada keluarga mendiang, yang merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati, RM1 juta untuk setiap anak mendiang, RM300,000 untuk ibu bapa mendiang, serta ganti rugi teruk berjumlah RM1.5 juta kepada Dr. Ravi, RM700,000 kepada Dr. Shanmugam dan kliniknya, serta RM100,000 sebagai ganti rugi punitif. - Berita Harian
Berita berkaitan
January 9, 2025, 9:04 pm
Angkara 'perang mulut', 13 ditahan bertumbuk dalam kedai mamak di Kluang
January 9, 2025, 4:34 pm
Polis tahan pemilik, pembantu taska bantu siasatan kes bayi cedera digigit
January 9, 2025, 2:49 pm
Siapa dapat subsidi petrol ditentukan daripada pendapatan boleh guna bersih - Rafizi
January 9, 2025, 2:49 pm
MCMC rakam percakapan Adun Sungai Burong berhubung hantaran palsu libat PM
January 9, 2025, 2:35 pm
Penemuan objek menyerupai bahan letupan di Lebuh Sungai Pinang gemparkan penduduk
January 9, 2025, 2:13 pm
Dua pemimpin UMNO dilantik Senator Dewan Negara
January 9, 2025, 1:53 pm
Wajibkan pemandu bas jalani ujian air kencing sebelum mula tugas - MOTAC
January 9, 2025, 1:42 pm