TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC rakam percakapan Adun Sungai Burong berhubung hantaran palsu libat PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin, berhubung penyebaran hantaran palsu yang melibatkan Perdana Menteri.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa ADUN tersebut dipanggil pada 7 Januari lalu untuk membantu siasatan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan kad SIM telah diserahkan oleh Dr Mohd Zamri sebagai bahan bukti bagi membantu siasatan. Analisis forensik dijangka dilakukan terhadap peranti tersebut untuk tujuan siasatan lanjut.

MCMC turut menyatakan bahawa aduan yang diterima daripada orang ramai berkenaan akaun-akaun media sosial di Facebook yang menyebarkan hantaran palsu mengenai Perdana Menteri. Hasil siasatan mendapati bahawa kebanyakan akaun tersebut adalah akaun palsu, namun salah satu daripada akaun yang terlibat didapati milik ADUN Sungai Burong.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC juga menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memuat naik hantaran di media sosial, memastikan maklumat yang disebarkan adalah sahih dan benar. Langkah ini penting bagi menjaga persekitaran dalam talian yang selamat dan berintegriti untuk kesejahteraan rakyat. - Media Telus

+ - reset