TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis terima 182 laporan terhadap Hannah Yeoh, 59 sudah dirakam percakapan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 Jan - Polis sudah merakamkan percakapan 59 individu untuk siasatan berkait isu buku tulisan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata setakat ini, sebanyak 182 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

"Jumlah keseluruhan 182 laporan polis yang diterima dan 59 rakaman percakapan sudah dirakamkan.

"Keterangan Hannah Yeoh masih belum diambil," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Pada 3 Januari lalu, polis Kuala Lumpur mengesahkan terdapat 157 laporan polis terhadap Hannah diterima di seluruh negara termasuk lapan di ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob, dipetik berkata polis belum merakam percakapan Hannah dan proses itu akan dijalankan dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil membuat laporan polis terhadap Hannah.

Laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah itu yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.

Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi di sini, menolak saman fitnah difailkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.

Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum 'Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?' dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.

Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah: A Personal Journey' untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.

+ - reset