TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pembangkang desak penjelasan terhadap isu titah adendum

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Barisan pembangkang menggesa kerajaan untuk memberikan penjelasan berhubung kewujudan Titah Adendum yang didakwa dizahirkan oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sejak setahun lalu, namun sehingga kini tidak dilaksanakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menekankan bahawa rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut kerana ia menyentuh kepentingan awam dan Institusi Beraja, yang menjadi lambang kedaulatan negara.

Memartabatkan institusi beraja
Hamzah mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menjunjung dan memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Beraja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi menyempurnakan titah Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang dibuat mengikut lunas perundangan, termasuk sebarang titah tambahan (Adendum) berkaitan pengampunan di-Raja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penderhakaan besar jika ingkat
Menurut Hamzah, sebarang tindakan ingkar, menyembunyikan, atau menafikan titah Seri Paduka Baginda adalah satu bentuk penderhakaan besar kepada Raja dan Negara.

"Rakyat hari ini berhak mengetahui kebenaran mengenai kewujudan Titah Adendum ini dan mempersoalkan mengapa ia tidak dilaksanakan walaupun telah dizahirkan sejak setahun lalu," tambahnya.

Hak rakyat dan perlembagaan
Hamzah juga menegaskan bahawa keinginan rakyat untuk mengetahui kedudukan sebenar isu ini adalah hak bersuara yang dilindungi oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Suara rakyat tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak, dan kerajaan perlu bersikap telus dalam menangani isu berkaitan kepentingan negara dan Institusi Beraja," katanya.

Gesaan ini mencerminkan perhatian serius pembangkang terhadap isu yang dianggap sensitif dan penting dalam menjaga integriti Institusi Beraja serta kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara. - Media Telus

+ - reset