TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Projek tebatan banjir, pembasmian kemiskinan dipercepatkan – PM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 3 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan semua program dan projek asas yang penting untuk rakyat, termasuk pembasmian kemiskinan tegar dan tebatan banjir, disegerakan.

Beliau menegaskan, unjuran projek yang mengambil masa terlalu lama perlu dikaji semula supaya dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat.

“Saya setuju kita harus rombak semua projek yang mengambil masa sehingga enam tahun untuk disiapkan. Jika banjir mengorbankan nyawa dan harta, tidak perlu menunggu terlalu lama untuk melaksanakannya,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Beliau turut menegur amalan menangguhkan projek berdasarkan fasa seperti yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan, di mana projek tebatan banjir dijangka memakan masa sehingga 15 tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Utamakan Keperluan Mendesak
Menurut Perdana Menteri, semua program mendesak seperti pembasmian kemiskinan tegar dan projek tebatan banjir tidak boleh ditunda berdasarkan unjuran lima hingga enam tahun seperti dalam Rancangan Malaysia (RMK).

“Kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan. Kalau perlu meminjam, kita akan pinjam, asalkan projek-projek ini dilaksanakan segera,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan agar penjawat awam, khususnya ketua setiausaha kementerian (KSU), mengambil langkah proaktif untuk mempercepatkan pelaksanaan projek penting ini.

Pada Disember lalu, Anwar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek tebatan banjir di seluruh negara, termasuk di Pantai Timur, sedang berjalan mengikut jadual walaupun terdapat beberapa projek yang pernah dibatalkan pada 2022 kerana isu rundingan terus.

Keputusan tersebut, katanya, dibuat untuk memastikan setiap projek mempunyai asas pelaksanaan yang kukuh dan mematuhi prinsip ketelusan. - Media Telus

+ - reset