TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pindaan Akta PERKESO bakal perkenal perlindungan 24 jam kepada pekerja

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Beberapa pindaan akta oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dirancang tahun ini dijangka membuka lembaran baharu dalam memberikan perlindungan 24 jam kepada golongan pekerja di Malaysia.

Antara perubahan tersebut termasuk pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) serta pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Dalam satu kenyataan hari ini, PERKESO menjelaskan bahawa pindaan ini bertujuan menutup sebarang kelompangan dalam jaringan keselamatan sosial yang sedia ada, dengan fokus pada keterangkuman dan relevansi terhadap keperluan semasa.

"Beberapa pelan besar seperti pindaan Akta 4, Akta 800, dan SKBBK dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini untuk memastikan aspek keselamatan sosial di Malaysia terus kukuh," menurut kenyataan itu.

PERKESO juga menegaskan bahawa inovasi dalam keselamatan sosial menjadi fokus utama, selaras dengan penekanan dalam Forum Keselamatan Sosial Serantau (RSSF) Asia dan Pasifik yang diadakan baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, PERKESO bersama rakan strategiknya, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini giat bersiap sedia untuk menganjurkan Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025.

Forum berskala global ini akan diadakan dari 29 September hingga 3 Oktober 2025 dan dijangka menghimpunkan 338 agensi dari 163 negara di bawah naungan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

ISSA, yang berpusat di Geneva, Switzerland, ditubuhkan pada 1927 di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Persidangan WSSF yang diadakan setiap tiga tahun ini merupakan platform global untuk membincangkan dasar, strategi, dan inovasi dalam bidang keselamatan sosial, dengan penyertaan menteri, pegawai kanan, dan pakar dalam sektor berkenaan. - Media Telus

+ - reset