TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayi 19 hari maut, kakak koma kereta dipandu ibu terbabas di Seremban

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 31 Dis - Seorang bayi lelaki berusia 19 hari meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, manakala kakaknya berusia sembilan bulan koma selepas terbabit kemalangan di Kilometer 3.8 Jalan Kampung Batu-Inas, Rembau, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 7.50 pagi mengakibatkan bayi berkenaan, Muhammad Aryan Qhalish Muhammad Adzril yang juga penumpang hadapan, meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih tujuh jam akibat pendarahan di otak.

"Kakaknya, Putri Eshal, yang berada di tempat duduk belakang, kini masih koma akibat pendarahan otak dan sedang menerima rawatan di hospital sama," katanya.

Mengulas lanjut, katanya ketika kejadian, ibu mangsa berusia 39 tahun dalam perjalanan bersama lima anaknya termasuk tiga anak perempuan lain berusia 11 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun dari arah Jalan Inas menghala Kampung Batu di Rembau.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Alza dipandu wanita itu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan. Keadaan jalan di kawasan itu berselekoh dan mempunyai cerun," katanya dalam kenyataan malam semalam.

Beliau memaklumkan ibu mangsa mengalami kecederaan pada bahu kiri, manakala semua anak yang cedera dikejarkan ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan lanjut. - Media Telus

+ - reset