TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pasangan pengasas FashionValet dibenarkan ambil pasport untuk tunai umrah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof, 36, dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, 35, untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan itu selepas pihak pendakwaan tidak membantah.

"Permohonan pasport dibenarkan bermula hari ini, 31 Disember, dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari," kata Hakim Rosli.

Peguam pasangan tersebut, Ashok Athimulan, memohon agar pasport diserahkan segera bagi memudahkan urusan visa dan perjalanan mereka ke Arab Saudi pada 5 Januari.

Menurut Ashok, pasangan itu dijadualkan pulang ke Malaysia pada 14 Januari, dan akan menyerahkan semula pasport kepada mahkamah sehari selepas itu.

Pertuduhan Pecah Amanah
Pada 5 Disember lalu, Vivy dan Fadzaruddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta pada tahun 2018.

Mereka didakwa menggunakan dana tersebut dengan curang untuk membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebatan, dan denda.

Mahkamah sebelum ini menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang dengan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 22 Januari depan. - Media Telus

+ - reset