TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Fitnah PAS sesat, tunggang agama, PAS pertimbang heret Kor Ming ke mahkamah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Dis - PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kenyataan yang didakwa sebagai tohmahan dan fitnah terhadap parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi menteri berkenaan.

Katanya, antara lain Naib Presiden DAP itu menuduh PAS sebagai 'sesat', 'menyebar ajaran sesat', 'menunggang agama', 'merosakkan keharmonian masyarakat' dan 'menyekat sambutan Krismas'.

"Ledakan emosi yang melulu dan tidak terkawal ini dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan ditimbulkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Hanif Jamaluddin, berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu baru-baru ini.

"Susulan kenyataan itu, KPKT (Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan) mengeluarkan kenyataan balas yang sepatutnya menjelaskan keadaan, namun nampaknya ia menempelak pula kemusykilan yang ditimbulkan.

"Sejarah membuktikan sejak selepas kemerdekaan negara, tidak pernah berlaku di kementerian mahupun agensi kerajaan menganjurkan program perayaan keagamaan selain daripada Islam secara terbuka di premis kerajaan, apatah lagi turut membabitkan pegawai dan kakitangan yang beragama Islam," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Justeru, PAS menggesa KPKT atau mana-mana pihak lain supaya lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu membabitkan hukum hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan. 

Katanya, hal ini kerana sikap sambil lewa, tidak peduli atau tidak sensitif bukan sahaja boleh membawa kesan buruk terhadap orang Islam, tetapi juga hubungan baik antara kaum dan agama.

"PAS meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak.

"Di sebalik cakap berdegar-degarnya mengenai keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam kepelbagaian, saling menghormati dan sebagainya, beliau sendiri sebenarnya tanpa segan silu melanggar dan mencabar bukan sahaja bidang kuasa pihak berkuasa agama di negara ini, malah secara terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.

"Dengan menyebut PAS bukan sahaja 'sesat' tetapi 'menyebarkan ajaran sesat', Nga Kor Ming dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam," katanya.

Semalam, Kor Ming menempelak PAS atas sikap hipokrit parti itu berhubung sambutan Hari Krismas yang diadakan di pejabat KPKT di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya apabila memberi kenyataan bercanggah berkaitan perayaan berkenaan.

+ - reset