TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penyanyi wanita ditahan miliki pil kuda di Sungai Golok alami kemurungan teruk

By
|
Kongsi
image

NARATHIWAT 21 Dis. - Artis wanita Malaysia yang ditahan kerana didakwa memiliki 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu, mengalami kemurungan yang teruk sebaik tiba di Penjara Wilayah Narathiwat pada 4 November lalu.

Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat, Superintendan Surin Chanthep, berkata artis dikir barat berusia 29 tahun itu bagaimanapun kembali sihat seminggu selepas itu sebaik menjalani kaunseling.

"Dia tiba di penjara wilayah Narathiwat bersama lima yang lain termasuk dua lagi wanita Malaysia.

"Keadaannya (penyanyi) sangat tertekan apabila dihantar ke penjara awal November lalu. Melihat keadaannya itu, pegawai penjara segera memberi kaunseling untuk memberi motivasi.

"Kini keadaannya jauh lebih baik. Dua rakannya juga menghadapi keadaan sama dan turut menjalani kaunseling," katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Surin berkata, dia akan pergi memeriksa artis itu secara peribadi untuk melihat keadaannya.

"Layanan kami terhadapnya bukan kerana dia seorang artis dari Malaysia. Bagi kami, semua banduan akan dilayan sama tanpa mengira bangsa mereka.

"Kami juga akan bertanya kepada mereka jika mereka memerlukan sebarang bantuan," katanya.

Surin turut mengakui penahanan artis itu di penjara membimbangkan rakyat di Thailand termasuk Menteri Keadilan Thailand.

"Baru-baru ini menteri ada melawat artis dan rakan-rakannya. Beliau juga meminta pegawai penjara memastikan kesejahteraan banduan di sini termasuk dari Malaysia," katanya.

Setakat ini, beliau berkata pihak penjara tidak menerima sebarang aduan daripada artis dan banduan Malaysia yang lain.

"Mereka semua dalam keadaan baik dan tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam kalangan banduan di sini," katanya.

Artis berusia 29 tahun itu antara 31 rakyat Malaysia yang kini ditahan di penjara itu.

Dia dan lima lagi rakyat Malaysia ditahan polis Thailand kerana didakwa memiliki 6,000 pil di sebuah hotel di bandar Sungai Golok pada 1 November lalu. - Berita Harian

+ - reset