TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar tegas kerajaan kekal komited pada agenda reformasi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan terus mendukung perjuangan menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, bersatu, dan melindungi hak semua rakyat tanpa meminggirkan identiti asas negara.

Beliau berkata, pendirian itu kekal selaras dengan komitmen sejak dua tahun lalu, dengan memberi penekanan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, serta hak istimewa Melayu dan Bumiputera.

Komitmen kepada reformasi
"Di hadapan teman-teman seperjuangan, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya dan Kerajaan Madani tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi yang telah kita dukung bersama selama ini," katanya melalui hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Anwar turut menyatakan bahawa usaha reformasi yang dilaksanakan kini tertumpu kepada pembetulan tata kelola, termasuk memerangi rasuah sistemik dan memperkukuhkan tadbir urus.

"Saya mulakan dengan menghapuskan amalan rundingan terus dan pengaruh menteri dalam perolehan kerajaan, satu reformasi penting yang sering dipandang enteng oleh pengkritik," katanya.

Desakan dan cabaran
Mengulas desakan agar kerajaan mempercepatkan reformasi, Anwar berkata pengalaman lalu mengajarnya untuk lebih bijak dan berhati-hati dalam membawa perubahan, tanpa mengorbankan kestabilan negara.

Beliau turut mengkritik pihak yang mendakwa kerajaan gagal melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini.

"Ada juga suara memualkan daripada segelintir yang kononnya mendakwa kerajaan gagal melaksanakan agenda reformasi, sedangkan mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah," katanya.

Kestabilan pentadbiran penting
Anwar menegaskan bahawa kestabilan kerajaan Madani adalah penting untuk memastikan agenda reformasi dapat direalisasikan.

"Kegagalan bermakna negara ini akan kembali di bawah pemerintahan pelampau agama dan perkauman," ujarnya, sambil menekankan pentingnya pentadbiran yang kukuh dan bersatu. - Media Telus

+ - reset