TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Rakyat Malaysia ditahan di Bangkok dipercayai ketua sindiket ubah wang haram lebih RM652.8 juta

By
|
Kongsi
image

BANGKOK 19 Dis - Polis Thailand yakin berjaya membanteras sindiket penipuan utama yang mendalangi kegiatan pengubahan wang haram lebih 5 bilion baht (RM652.8 juta) melalui rangkaian transaksi palsu. 

Ia susulan penahanan seorang rakyat Malaysia yang juga ketua sindiket terbabit.

Selain lelaki itu, turut ditahan isterinya yang juga warga Thailand yang masing-masing menjadi suspek utama yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram berskala besar itu.

Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi (ECD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB), Pol Mejar Jeneral Puttidej Bunkrapue berkata lelaki Malaysia berusia 38 tahun itu yang dikehendaki di bawah waran dikeluarkan Mahkamah Jenayah. 

Suspek ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkhla ketika memasuki Thailand pada 16 Disember lalu.

Sementara isterinya yang turut terbabit skim sama ditahan di lokasi berbeza semalam.

"Kedua-dua suspek menghadapi tuduhan bersekongkol dalam pengubahan wang haram," kata Puttidej melalui kenyataan hari ini.

Puttidej berkata kedua-dua suspek mengaku semasa disoal siasat merekrut individu untuk menubuhkan entiti sah terutamanya untuk membuka akaun bank yang mana akaun ini kemudiannya dijual kepada pelanggan di beberapa negara ASEAN.

Sementara itu, Pol Kolonel Theeraphas Yungyuen yang mengetuai siasatan, berkata operasi itu adalah rangkaian yang sangat terancang melibatkan warga Thailand dan asing.

"Sindiket itu mengubah wang lebih 5 bilion baht melalui lapisan transaksi penipuan yang kompleks," katanya sambil menambah lebih 50 waran tangkap telah dikeluarkan kepada individu yang dikaitkan dengan kes itu sejak beberapa bulan lalu.

Tambahnya lagi, sSuspek yang ditangkap adalah dalang dalam skim yang canggih dan mereka didakwa mengatur proses pengubahan wang haram dengan memindahkan dana melalui pelbagai akaun bank sebelum menukar wang itu kepada mata wang kripto USDT. 

"Penggunaan aset digital ini merumitkan usaha untuk mengesan dana," tambahnya.

Theeraphas berkata, tangkapan itu berikutan aduan daripada ramai mangsa yang diperdaya untuk melabur melalui aplikasi mudah alih palsu, termasuk "Nicshare" dan "ComonApps" yang mana aplikasi ini secara palsu menjanjikan pulangan tinggi daripada pelaburan pasaran saham.

Beliau berkata, CIB melancarkan Operation Ghost Company dan mendedahkan lebih 200 shell company yang wujud secara sah, namun hanyalah di atas kertas di seluruh Thailand, dengan kebanyakan entiti ini tidak beroperasi tetapi digunakan untuk membuka akaun bank keldai yang memudahkan pengubahan wang haram.

"CIB bertekad menjejaki baki ahli rangkaian jenayah ini dan memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab menubuhkan shell company dan memudahkan pengubahan wang haram didakwa berlandaskan undang-undang," katanya. 

+ - reset