TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Tengku Zafrul: Teknokrat yang jadi taruhan penting dalam politik nasional

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz terus menjadi perhatian dalam politik negara, bukan sahaja kerana rekod cemerlangnya sebagai seorang teknokrat tetapi juga kerana kedudukannya yang strategik dalam dinamik hubungan antara UMNO dan PKR.

Walaupun perjalanan politiknya dalam UMNO kini menjadi persoalan, ramai yang berpendapat Tengku Zafrul adalah aset penting kepada negara dan mampu menyumbang secara signifikan dalam apa jua kedudukan.

Sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Zafrul telah membantu meningkatkan pelaburan asing dan memulihkan keyakinan ekonomi pasca-pandemik.

Beliau memainkan peranan penting dalam merangka dasar-dasar yang menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika menghadapi cabaran global.

Keupayaannya untuk berkhidmat dengan profesionalisme tinggi melangkaui kepentingan politik parti menjadikannya salah seorang teknokrat yang dihormati oleh pelbagai pihak.

Dinamik UMNO-PKR dan Tengku Zafrul sebagai orang tengah

Dalam konteks politik semasa, hubungan antara UMNO dan PKR menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju kerajaan perpaduan.

Kedudukan Tengku Zafrul dalam UMNO dilihat membuka peluang kepada rundingan strategik antara kedua-dua parti ini.

Menurut penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, jika UMNO memutuskan untuk melepaskan Tengku Zafrul, ia boleh menjadi titik tolak kepada satu rundingan baharu antara parti Melayu itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tengku Zafrul adalah seorang tokoh teknokrat yang tidak membawa bagasi politik. Kehilangan beliau dalam UMNO mungkin dilihat sebagai pengorbanan, tetapi ia boleh membuka ruang kepada UMNO untuk menuntut ganjaran politik yang lebih daripada Anwar,” kata seorang pemerhati politik.

UMNO boleh menggunakan situasi ini untuk merundingkan ganjaran lebih besar dalam kerajaan perpaduan.

Menurut Dr Azmi, Jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang dipegang Tengku Zafrul secara tradisinya dianggap milik UMNO, tetapi parti itu juga boleh meminta lebih daripada sekadar jawatan tersebut.

Rundingan strategik ini penting untuk memastikan UMNO kekal relevan dalam kerajaan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pada masa yang sama, Anwar dilihat bijak memainkan strategi untuk memastikan kestabilan dalam PKR dan kerajaan perpaduan.

Azmi berkata, Pemilihan PKR tahun hadapan dipercayai menjadi salah satu faktor utama mengapa Perdana Menteri membuka ruang kepada tokoh seperti Tengku Zafrul.

Langkah ini dilihat bukan sahaja memperkukuhkan pentadbirannya, tetapi juga mempengaruhi percaturan politik dalaman PKR sendiri.

Potensi Tengku Zafrul di Selangor dan masa depan UMNO

Spekulasi mengenai kemungkinan Tengku Zafrul menjadi Menteri Besar Selangor turut menambah dimensi baru kepada perbincangan ini.

Sekiranya UMNO membenarkan Tengku Zafrul keluar daripada parti, Anwar boleh mengatur kedudukan politik negeri itu dengan lebih mudah.

Dalam konteks ini, UMNO berada pada kedudukan untuk memanfaatkan rundingan tersebut dengan menuntut balasan politik yang lebih besar daripada Anwar.

Namun, apa yang jelas ialah Tengku Zafrul kekal sebagai figura penting dalam lanskap politik negara.

Walaupun beliau mungkin tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dalam UMNO, keupayaannya sebagai seorang teknokrat menjadikannya aset kepada mana-mana pentadbiran.

Keputusan UMNO mengenai Tengku Zafrul akan mencerminkan kebijaksanaan parti itu dalam membaca peluang politik.

Bagi PKR dan Anwar pula, mengekalkan Tengku Zafrul dalam kabinet adalah langkah strategik untuk memastikan kerajaan perpaduan terus stabil, terutamanya dalam menghadapi cabaran politik dalaman. - Media Telus

+ - reset