TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penyertaan Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir dibatalkan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Dis - Penyertaan Lee Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China dibatalkan selepas dia menarik diri ketika perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A berdepan wakil tuan rumah, Li Shi Feng.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu terpaksa membuat keputusan itu kerana mengalami kecederaan pada buku lali kanannya. 

Ekoran daripada situasi itu bermakna tidak dia tidak akan lagi meneruskan perjuangan memburu gelaran juara di Jelajah Dunia Akhir itu. 

Zii Jia sebenarnya berada di dalam keadaan selesa untuk meraih kemenangan dalam aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, apabila memenangi set pertama 22-20 dan sedang mendahului 13-4 di set kedua sebelum dia dihantui kecederaan buku lali kanan.

Dia dilihat untuk cuba meneruskan permainan namun akhirnya membuat keputusan ketika ketinggalan 11-15. 

Kecederaan yang dialami Zii Jia yang kini berada di ranking kelapan dunia dilihat agak serius sehingga terpaksa meninggalkan gelanggang menggunakan kerusi roda.

Ketua Komunikasi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Lloyd Green dalam kenyataan ringkasnya kepada media mengesahkan keadaan itu berdasarkan peraturan yang ditetapkan badan induk itu.

"Zii Jia mengalami kecederaan bulu lali kanan. Disebabkan dia menarik diri, semua keputusan perlawanannya dibatalkan," katanya.

Tindakan menarik diri itu menyaksikan kemenangannya dalam dua perlawanan awal sebelum ini ke atas jaguh Taiwan, Chou Tien Chen dan Anders Antonsen dari Denmark yang mana dia sudah pun mengesahkan tempatnya ke separuh akhir dibatalkan. - Harian Metro

+ - reset