Berita Jenayah
Polis cekup pasangan kekasih aktif curi tabung derma anak yatim di Melaka
MELAKA 11 Dis - Polis memberkas pasangan kekasih disyaki aktif melakukan kegiatan mencuri tabung derma madrasah dan rumah anak yatim di sekitar negeri ini, Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun dan pasangannya, 35 tahun, ditahan jam 12.10 tengah malam di sebuah kondominium di Klebang, dekat sini, pada 4 Disember lalu.
Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama anggota Balai Polis Tengkera hasil risikan dan maklumat awam.
Menurutnya, hasil serbuan itu polis turut menjumpai semula 54 tabung derma milik pelbagai madrasah dan rumah anak yatim disyaki dicuri serta merampas sebuah kenderaan dan alat pemotong besi.
"Suspek dipercayai aktif mencuri tabung derma madrasah dan anak yatim yang diletakkan di kedai makan dan kedai runcit sekitar Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, sejak dua tahun lalu.
"Modus operandi mereka adalah pergi ke kedai ataupun warung yang diletakkan tabung derma lalu berpura-pura sebagai wakil dari madrasah atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma terbabit.
"Dengan menggunakan taktik itu pasangan terbabit berjaya mendapat kira-kira RM250 sehari atau anggaran keseluruhan lebih RM10,800," katanya dalam kenyataan di sini.
Christopher berkata, dalam serbuan sama polis turut menjumpai ketulan mampat dedaun hijau dipercayai ganja seberat kira-kira 8 gram.
"Hasil semakan turut mendapati suspek lelaki beralamat di Taman Seri Suria, Sungai Rambai mempunyai empat rekod kes dadah dan jenayah manakala wanita dari Taman Seri Kenangan, Batu Pahat, Johor memiliki empat rekod kes dadah.
"Dengan penahanan suspek kita membuka lapan kertas siasatan iaitu empat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tiga mengikut Seksyen 6 dan 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta satu mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang berdepan kes sedemikian membuat laporan polis selain menasihati pemilik kedai makan mahupun kedai runcit menyemak terlebih dulu individu yang hadir ke premis untuk mengutip tabung derma bagi mengelak kes berulang. - Media Telus
Berita berkaitan
December 9, 2024, 10:08 am
Lelaki seludup 16 pati cuba rasuah polis RM50,000 ditahan
December 5, 2024, 11:12 am
Lelaki dipercayai tikam ibu kandung hingga maut direman 7 hari
December 4, 2024, 12:15 pm
Guru rugi RM200,000 ditipu sindiket penyamaran
December 4, 2024, 10:11 am
Polis tembak mati 3 penjenayah terbabit kes bunuh
December 4, 2024, 10:04 am
Wanita ditahan dera anak kandung, simbah air panas hingga parah
December 3, 2024, 11:01 am
(VIDEO) Pemandu Honda Civic 'cucuk' ambulans ditahan
December 3, 2024, 10:23 am
Ingin keluar rumah, tinggal berasingan dipercayai punca Zahnita dipukul suami
December 2, 2024, 3:44 pm
Sindiket sorok dadah dalam bungkusan ubat cirit-birit elak dicekup polis
November 27, 2024, 5:50 pm