TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes kematian Zaharif: Pegawai penyiasat mengaku padam 2 video perlanggaran

By
|
Kongsi
image

IPOH 12 Okt. - Pegawai penyiasat trafik yang membuka kertas siasatan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa dia memadam dua rakaman video memaparkan mangsa dilanggar.

Inspektor Jong Pit Chao, 37, yang juga saksi pendakwaan ke-29 berkata, video itu diterima melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Disember tahun lalu, dua hari selepas kejadian perlanggaran antara Perodua Ativa putih dipandu tertuduh dengan motosikal Yamaha 135LC hitam ditunggang Zaharif.

Menurutnya, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) itu dihantar oleh seorang wanita, pemilik Mitsubishi Triton, yang meletak kenderaannya di bahu jalan berhampiran lokasi perlanggaran.

Saksi itu memadam video terbabit atas alasan siasatan kes diserahkan kepada pegawai penyiasat baharu, Asisten Superintendan Chua Sze Chuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Saksi memberi kenyataan itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-16 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.

Terdahulu, Mior bertanya sama ada saksi itu boleh menunjukkan rakaman video kepada mahkamah, namun Jong menjawab bahawa rakaman itu sudah tiada dalam simpanannya.

Mior: Kenapa tidak simpan?

Jong: Saya tidak boleh sebarkan bukti.

Mior: Puan tahu ini bukti di mahkamah?

Jong: Tahu, tetapi saya bukan lagi pegawai penyiasat dan telah menyerahkan kepada Chua.

Ketika pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bertanya mengapa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sambil mengambil kira kemungkinan elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menjawab soalan itu, Jong menyifatkan kes ini sebagai kejadian luar biasa.

"Luar biasa yang saya maksudkan ialah, berdasarkan pengalaman saya sebagai pegawai penyiasat trafik, kenderaan yang terbabit termasuk kereta dan motosikal tidak berada di lokasi kejadian.

"Berdasarkan keterangan saksi awam, motosikal mangsa dikejar oleh sebuah Perodua Ativa dan dilanggar dari belakang. Maksudnya, ini kejadian luar biasa yang mana wujud insiden mengejar antara kereta dan motosikal," katanya.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bersambung sebelah petang. - Harian Metro

+ - reset