TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Edar dadah, bekas pemandu van dihukum penjara seumur hidup

By
|
Kongsi
image

MELAKA 10 Dis. - Bekas pemandu van kilang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 470.33 gram.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ramlan Mohammed Salleh, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mohd. Radzi dalam penghakimannya berkata, tertuduh ketika membela diri gagal memanggil individu bernama Shafiq sebagai saksi pembelaan yang didakwa telah meminjam kereta miliknya.

"Mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup bermula dari tarikh ditangkap.

"Tertuduh juga dikecualikan hukuman sebat kerana usianya melebihi 50 tahun selain tiada faktor pemberat mewajarkan hukuman mati terhadapnya," katanya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 470.33 gram di dalam sebuah kereta jenis Proton Gen2 di Jalan CJ 6, Taman Cheng Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang pada 6 Februari 2020.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Seramai 10 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusoh manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan. - Sinar Harian

+ - reset