TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu Batu Puteh: Polis tak terima laporan ke atas Tun M setakat ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 Dis - Polis tidak menerima sebarang laporan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak.

"Belum, kita (polis) belum terima apa-apa laporan berhubung siasatan RCI terhadap isu Pulau Batu Puteh," katanya dalam sidang media pada Pelancaran Buku Coffee Table Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelancaran majlis berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Razarudin berkata demikian selepas ditanya sama ada pihak polis telah menerima laporan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Siasatan RCI kes kedaulatan Batu Puteh telah mengesyorkan supaya laporan difailkan, bagi membolehkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Khamis lalu, media melaporkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr. Mahathir berkaitan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2018.

Dalam laporan setebal 217 itu, suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr. Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama serta di bawah Seksyen 418 Kanun yang sama.

"Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan," katanya.

Laporan yang ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif menyatakan, dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah, Dr. Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Menurut laporan itu, jika Kabinet Menteri dibekalkan dengan kertas kuasa tindakan di ICJ dan pandangan bertulis daripada perunding antarabangsa, Kabinet berkemungkinan mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan kedua-dua permohonan itu.

"Dalam hal ini, Dr Mahathir berkemungkinan telah dengan sengaja mendorong Kabinet Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan itu walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas permohonan itu mempunyai kebarangkalian untuk berjaya," katanya.

Selain itu, Suruhanjaya berkata, siasatan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan boleh dibuat atas fakta yang beliau menipu kerajaan dengan pengetahuan bahawa beliau berpotensi untuk menyebabkan kerugian salah (wrongful loss) kepada kerajaan Malaysia kerana sebagai Perdana Menteri, beliau mempunyai obligasi untuk melindungi kepentingan negara.

+ - reset