Berita Berita
1MDB: Najib nafi pelaburan, projek 1MDB untuk kepentingan diri, UMNO
KUALA LUMPUR 10 Dis - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa pelaburan dan projek usaha sama syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijadikan alat untuk mendapatkan dana bagi kepentingan dirinya dan UMNO adalah tidak benar.
Najib yang memberikan keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, berkata beliau sangat tidak bersetuju dengan dakwaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman ketika memberikan keterangan selaku saksi pendakwaan pada 14 September 2020.
"1MDB atau usaha niaga projeknya bukan untuk kepentingan saya mahupun untuk UMNO," tegasnya.
Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Najib berkata, kelulusan pelaburan diberikan kepada 1MDB adalah mengikut cadangan syarikat itu sendiri selepas perbincangan menyeluruh dibuat di peringkat Lembaga Pengarah melalui cadangan entiti yang sah, atas nasihat penasihat yang berkaliber.
Najib berkata, masalah dengan 1MDB ialah kegagalan sistemik dalam pelaksanaan keputusan di peringkat pengurusan yang bermula dari zaman pengurusan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO) sehingga Mohd Hazem.
Najib berkata, beliau masih ingat keterangan Mohd Hazem yang mengaku ditempatkan di bahagian pengurusan 1MDB untuk melaksanakan arahan ahli perniagaaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Beliau berkata, pengakuan Mohd Hazem mengenai dana AS$3 bilion untuk 1MDB Global Investment Limited, di mana beliau diletakkan sebagai pengarah bagi menandatangani dokumen atas arahan Jho Low dan proksinya.
"Adalah luar biasa apabila dakwaan saksi ini diberikan kredibiliti, terutamanya apabila dia mengaku melanggar Perjanjian Usaha Sama dan selama berbulan-bulan menyimpan wang ke dalam tiga dana fidusiari tanpa pengetahuan dan mengelirukan Lembaga Pengarah untuk mempercayai bahawa ia disimpan dengan selamat di UBS Bank.
"Walau apa pun, saya mendapati ia juga membingungkan bahawa dakwaan yang begitu serius dan perbuatan rasuah di peringkat tertinggi ini tidak ditimbulkan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa mengambil kenyataan saya.
"Saya mengesyaki dakwaan ini dibuat kemudian bagi menyelamatkan kredibiliti yang masih ada pada Mohd Hazem memandangkan dia memberikan keterangan berhubung pemalsuan, perbuatan pecah amanah jenayah, dan melanggar tugas fidusiari sebagai pengarah," katanya.
Najib berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang memintanya menjawab keterangan Mohd Hazem bahawa Jho Low mengatur semua keputusan pelaburan 1MDB yang dijadikan sebagai alat mendapatkan dana bagi Najlb dan UMNO.
Mengikut keterangan Mohd Hazem, ia dinyatakan sendiri kepadanya oleh Jho Low yang percaya kepadanya kerana beliau adalah kawan baik bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias.
Najib turut disoal mengenai dakwaan Mohd Hazem yang lain bahawa beliau (Hazem) bertindak atas arahan Azlin.
Najib berkata, dakwaan itu adalah paling keji dan muslihat untuk mengecilkan pembabitan dan penyertaan beliau (Mohd Hazem) dalam skim Jho Low.
"Bagaimanapun, Allahyarham tidak lagi bersama kita untuk mempertahankan diri, tetapi ia tidak menjejaskan hakikat bahawa Azmi Tahir (bekas Ketua Pegawai Kewangan) masih berhutang kewajipan kepada syarikat dan tindakannya itu menjadikannya rakan sejenayah Jho Low.
"Berdasarkan kepada semua kejadian melalui bukti yang direkodkan ini akan menunjukkan bahawa Azmi Tahir dan Mohd Hazem hanya mendedahkan pelaburan ke dalam dana fidusiari kepada Lembaga Pengarah setahun kemudian iaitu pada 22 April 2014.
"Malah ia juga telah disalah nyatakan bahawa ia diuruskan oleh DBS Bank dan bukannya Bank BSI," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung. – Berita Harian
Berita berkaitan
December 11, 2024, 10:41 am
MBSA larang jual daging babi, makanan tidak halal di pasar malam
December 10, 2024, 4:26 pm
Kes kematian Zaharif: Pegawai penyiasat mengaku padam 2 video perlanggaran
December 10, 2024, 4:19 pm
Siasatan Roger Ng berhubung skandal 1MDB masih diteruskan
December 10, 2024, 4:12 pm
Edar dadah, bekas pemandu van dihukum penjara seumur hidup
December 10, 2024, 4:06 pm
Sejuta ahli KWSP telah buat caruman sukarela berjumlah RM11.16 billion setakat Oktober
December 10, 2024, 3:58 pm
Bantuan khas kewangan RM2,000 untuk penjawat awam Perlis
December 10, 2024, 3:43 pm
Pelanggan tikam pemilik bengkel hingga parah selepas baiki kereta di Subang Jaya
December 10, 2024, 3:33 pm
Isu Batu Puteh: Polis tak terima laporan ke atas Tun M setakat ini
December 10, 2024, 3:15 pm