TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Ahmad Zahid mahu BN bina kembali identiti, raih semula sokongan rakyat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Dis - Barisan Nasional (BN) perlu segera menyusun semula kekuatan parti itu bagi mengembalikan sokongan rakyat. 

Berucap pada sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Tahun gabungan itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan tiga kerangka langkah ke hadapan yang perlu diberi perhatian membabitkan penjenamaan semula, mentakrifkan semula dan menyusun semula.

"Penjenamaan semula BN mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa. Dengan pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif, BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman. 

"Pendekatan brand humanization contohnya boleh memperkukuhkan usaha ini dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi. 

"Pemimpin perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat. Sikap rendah hati ini akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat," katanya semasa berucap di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penjenamaan semula ini perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial. 

"Ia sekali gus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital," katanya. 

Ahmad Zahid berkata, langkah kedua membabitkan mentakrifkan semula adalah dengan BN menyusun semula hala tuju dengan visi dan misi jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia yang berpaksikan masa depan. 

"Kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan perlu mengikut kepada acuan masyarakat yang rencam dan pelbagai. 

"Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat. Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat. 

"Malah, BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme," katanya. 

Presiden Umno itu berkata, dari segi langkah ketiga iaitu menyusun semula, selain mengeratkan hubungan dengan rakan politik, BN turut perlu memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama. 

"Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan buat mereka yang aktif di lapangan," katanya. 

Menurutnya, kejayaan pilihan raya BN semasa di Nenggiri dan Mahkota juga adalah tindakan yang tepat mengikut kehendak rakyat. 

"Jadi, kita susun sebaiknya, kenal pasti calon berpotensi lebih awal. Saya yakin dengan gerak langkah baharu ini, BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing," katanya. 

+ - reset