TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Lelaki dipercayai tikam ibu kandung hingga maut direman 7 hari

By
|
Kongsi
image

KLUANG 5 Dis - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis membenarkan perintah reman tujuh hari terhadap pemuda yang dipercayai menikam ibu kandungnya dalam kejadian di Felda Ayer Hitam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno terhadap suspek berusia 20-an itu bermula Khamis sehingga 11 Disember depan.

Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal anggota polis pada jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan media memberitahu suspek ditahan di Felda Ayer Hitam pada jam 11 pagi Rabu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 10.45 pagi mengenai seorang wanita tempatan usia 50-an ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di Felda Ayer Hitam, Sri Lalang.

“Terdapat kesan tikaman di belakang badan mangsa. Suspek dipercayai menggunakan pisau,” katanya menurut Bernama.

Wanita itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Bahrin berkata, pihaknya kemudian menahan seorang lelaki di lokasi kejadian kira-kira 11 pagi.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah selain ujian urin negatif.

“Suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - Media Telus

+ - reset