TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa bimbang kemungkinan berlaku gelombang kedua bencana banjir di negara ini.

Justeru itu, beliau mengarahkan agensi berkaitan dalam keadaan bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"Jadi kebimbangan ialah kemungkinan mengikut MetMalaysia ada second wave (gelombang kedua banjir). Mudah-mudahan Insya-Allah kita dapat kawal," katanya ketika berucap di Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Menyentuh perkembangan terkini situasi banjir di beberapa negeri, Anwar berkata setakat jam 11 pagi tadi, seramai 63,728 mangsa daripada 19,558 keluarga ditempatkan di kira-kira 219 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, keseluruhannya mangsa banjir direkodkan sejak awal banjir bermula sehingga hari ini adalah 235,706 orang, sekali gus angka tertinggi pernah direkodkan dalam catatan sejarah.

"Setakat pagi ini, trend (jumlah mangsa di PPS) ini dilihat menurun.

"Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor," katanya merujuk laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

+ - reset