Berita Berita
Mahkamah Rayuan benar Najib hadir prosiding pendengaran adendum esok
PUTRAJAYA 4 Dis - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran rayuannya yang dijadualkan petang esok berhubung kewujudan titah adendum.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim, terdiri daripada Hakim Datuk Seri Mariana Yahya, Datuk Hashim Hamzah, dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, hari ini membenarkan permohonan ex-parte bekas Perdana Menteri itu untuk mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara bagi menghadiri perbicaraan tersebut.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang membuat permohonan tersebut menjelaskan bahawa rayuan ini melibatkan isu berkaitan hukuman penjara anak guamnya. Beliau memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah berkomunikasi dengan peguam kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, yang tidak membantah permohonan tersebut.
Muhammad Shafee, yang dibantu oleh Wan Mohammad Arfan Wan Othman, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan Najib berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tidak mempunyai bantahan terhadap hasrat bekas ahli Parlimen Pekan itu untuk menghadiri perbicaraan rayuan tersebut.
Najib kini memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang dijangka berterusan hingga minggu depan.
Rayuan esok berkaitan cabaran Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung perintah tambahan.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib dan memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana dianggap khabar angin semata-mata.
Dalam permohonan yang difailkan April lepas, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Perdana Menteri itu juga memohon perintah bahawa jika titah itu wujud, maka semua responden atau salah seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan segera memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Bernama
Berita berkaitan
December 4, 2024, 4:48 pm
Banjir: Polis rekod kerugian RM1.55 juta, balai dan pondok polis tenggelam
December 4, 2024, 4:42 pm
Skandal Jabatan Air Sabah: Bekas pengarah, isteri, bekas timbalan diperintah bela diri
December 4, 2024, 4:32 pm
Kalah saman fitnah, mahkamah arah Siti Mastura bayar Kit Siang, Teresa, Guan Eng RM815,000
December 4, 2024, 3:43 pm
Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia
December 4, 2024, 3:35 pm
Henti sebar maklumat tak sahih, Saifuddin nafi MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia bocor
December 4, 2024, 3:28 pm
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 Meningkat 0.7 Peratus
December 4, 2024, 3:12 pm
Guan Eng gesa BNM, KKM campur tangan premium insurans perubatan naik hingga 70 peratus
December 4, 2024, 3:01 pm