Berita Berita
Guan Eng gesa BNM, KKM campur tangan premium insurans perubatan naik hingga 70 peratus
KUALA LUMPUR 4 Dis - Bank Negara (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) digesa campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas syarikat insurans yang didakwa 'mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat' dengan mengekalkan keputusan menaikkan premium insurans perubatan sehingga 70 peratus tahun depan.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2024 di Dewan Rakyat hari ini berkata, tindakan itu jelas menyalahi etika sedangkan industri insurans dilaporkan mengaut keuntungan tinggi separuh tahun pertama tahun ini.
"Tindakan syarikat insurans nyawa menaikkan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus (tahun depan) sememangnya tidak bermoral dan beretika.
"Mereka sudah untung banyak tetapi masih mahu keuntungan yang lebih tinggi. Mengikut Bank Negara, keuntungan pendapatan secara keseluruhan syarikat insurans nyawa dan dana takaful keluarga adalah lebih tinggi untuk separuh tahun pertama 2024 iaitu RM8.4 bilion berbanding separuh tahun kedua 2023, iaitu sebanyak RM3.2 bilion.
"Jadi BNM dan KKM harus campur tangan dan mengatasi kos perubatan hospital swasta yang kian meningkat sehingga ia dijadikan sebagai alasan kenaikan premium insurans perubatan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, premium insurans perubatan dijangka meningkat sehingga 70 peratus tahun depan, menyebabkan sesetengah pemegang polisi tiada pilihan selain mempertimbang menamatkan polisi mereka kerana peningkatan kos bulanan premium.
Guan Eng turut membangkitkan keresahan 31 juta rakyat Malaysia yang melihat kenaikan terbabit sebagai tidak munasabah dengan beban kos hidup semasa.
"Bukankah (syarikat) insurans nyawa sudah untung, tetapi mereka masih nak raih (untung) lebih banyak lagi tanpa mengira beban rakyat biasa yang bertungkus lumus menyara hidup keluarga dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat?
"Kenaikan insurans perubatan secara mendadak sebanyak 40 hingga 70 peratus memang tidak munasabah apabila gaji pekerja tidak pernah naik mendadak sebanyak 40 hingga 70 peratus.
"Kalau gaji tak naik mendadak mengapa kita nak benarkan premium insurans naik 70 peratus?" soalnya.
Hal sama turut dibangkitkan lima Ahli Parlimen KEADILAN iaitu Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Jimmy Puah (PH-Tebrau), Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), Yuneswaran (PH-Segamat) dan Chiw Choon Mun (PH-Miri) di Parlimen, hari ini.
Mereka memohon siasatan dan penelitian semula terhadap syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) di negara ini yang didakwa tidak bersikap adil iaitu bukan sahaja menaikkan premium insurans secara mendadak, malah perlindungan diberikan tidak setimpal dengan kadar dikenakan.
Tze Tzin memberi contoh situasi dialami seorang pencarum insurans wanita warga emas yang mengadu ketidakadilan ITO.
"Seorang pencarum wanita berusia 74 tahun mencarum dengan setia selama 18 tahun tetapi jumlah diinsuranskan ('sum insured') hanya RM60,000.
"Pada 10 tahun lalu, premium insurans beliau meningkat hampir setiap tahun. Contohnya, tahun 2021 beliau perlu mencarum RM5,615, RM6,065 (2022) dan RM10,815 (2024).
"Jika kenaikan ini berterusan, maka beliau akan mencarum RM60,994 melebihi 'sum insured' (jumlah diinsuranskan) RM60,000. Situasi ini sangat tidak adil kepada seorang pesara warga emas yang tidak lagi bekerja dan ini yang buatkan rakyat marah kerana kenaikan premium insurans yang tidak setimpal dengan perlindungan diterima," katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Berita berkaitan
December 4, 2024, 4:48 pm
Banjir: Polis rekod kerugian RM1.55 juta, balai dan pondok polis tenggelam
December 4, 2024, 4:42 pm
Skandal Jabatan Air Sabah: Bekas pengarah, isteri, bekas timbalan diperintah bela diri
December 4, 2024, 4:32 pm
Kalah saman fitnah, mahkamah arah Siti Mastura bayar Kit Siang, Teresa, Guan Eng RM815,000
December 4, 2024, 3:43 pm
Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia
December 4, 2024, 3:35 pm
Henti sebar maklumat tak sahih, Saifuddin nafi MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia bocor
December 4, 2024, 3:28 pm
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 Meningkat 0.7 Peratus
December 4, 2024, 3:28 pm
Mahkamah Rayuan benar Najib hadir prosiding pendengaran adendum esok
December 4, 2024, 3:01 pm