Berita Berita
Kes bunuh Zaharif: 8 tulang rusuk patah, hati pecah dan abdomen parah punca kematian - Forensik
IPOH 4 Dis - Pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie berpunca daripada kecederaan parah pada dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya pada 15 Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-24, Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata beliau membuat rumusan itu selepas melakukan bedah siasat terhadap mayat remaja lelaki itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, jam 3 petang, pada hari kemalangan.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati, sebanyak lapan tulang rusuk mangsa patah iaitu empat di belakang kanan, tiga di belakang sisi kiri serta satu lagi di sisi kiri.
"Selain itu, kedua-dua paru-paru lebam dan terdapat kesan koyak pada paru-paru kiri.
"Hati mangsa pecah pada bahagian kanan. Sekitar buah pinggang kanan dan sekitar kelenjar adrenal kanan lebam.
"Terdapat lebam pada bawah kulit kepala dan otot temporalis kiri. Bawah selaput otak terdapat pendarahan setempat yang sedikit pada occipital kiri," katanya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-11 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Dr Ain Nurfarahana berkata, beliau juga mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala, muka, dada, abdomen, belakang badan, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki Zaharif.
Menurutnya, terdapat kesan lebam, melecet dan calar di kelopak mata, bibir, belakang badan Zaharif serta tulang proximal jari kelingking kiri didapati patah.
"Rongga abdomen mengandungi pengumpulan darah berjumlah 2,000 mililiter (hemoperitoneum) dan lebam pada tisu mesenteri.
"Berdasarkan pemeriksaan bedah siasat yang saya jalankan, saya berpendapat sebab kematian si mati ialah 'Chest and abdomen injuries due to road traffic crash'," katanya.
Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Dr Ain Nurfarahana mengesahkan 108 keping gambar yang dirujuk kepada mahkamah adalah gambar kecederaan Zaharif ketika proses bedah siasat dijalankan.
Ketika dirujuk dokumen daftar kematian si mati, saksi itu turut mengesahkan waktu kematian Zaharif adalah pada 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. - Berita Harian
Prosiding perbicaraan bersambung pada sebelah petang.
Berita berkaitan
December 4, 2024, 4:48 pm
Banjir: Polis rekod kerugian RM1.55 juta, balai dan pondok polis tenggelam
December 4, 2024, 4:42 pm
Skandal Jabatan Air Sabah: Bekas pengarah, isteri, bekas timbalan diperintah bela diri
December 4, 2024, 4:32 pm
Kalah saman fitnah, mahkamah arah Siti Mastura bayar Kit Siang, Teresa, Guan Eng RM815,000
December 4, 2024, 3:43 pm
Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia
December 4, 2024, 3:35 pm
Henti sebar maklumat tak sahih, Saifuddin nafi MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia bocor
December 4, 2024, 3:28 pm
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 Meningkat 0.7 Peratus
December 4, 2024, 3:28 pm
Mahkamah Rayuan benar Najib hadir prosiding pendengaran adendum esok
December 4, 2024, 3:12 pm