TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peniaga Palestin sumbang shawarma buat mangsa banjir

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 4 Dis. - Seorang peniaga shawarma rakyat Palestin, Abdallah Ismail, yang dikenali sebagai Abe Lah, tampil membantu mangsa banjir di Kelantan dengan menyumbangkan makanan tradisional Arab yang popular di Malaysia.

Abe Lah, yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan, bersama isterinya, rakyat Malaysia, menyampaikan sumbangan shawarma kepada mangsa banjir melalui pusat pengumpulan yang diuruskan oleh usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Khairul Aming turut merakamkan penghargaan kepada Abe Lah dalam pertemuan mereka. Dalam satu video tular, Khairul berkongsi kisah menyentuh hati tentang niat Abe Lah menyumbang sebagai amal jariah untuk arwah ibu saudaranya yang syahid di Gaza akibat kesejukan dan kelaparan beberapa hari sebelum itu.

"Hari ini dapat sumbangan Abe Lah dan isteri. Dia kongsi rezeki untuk derma arwah mak cik yang syahid di Gaza. Tak apa, syurga menanti arwah," ujar Khairul Aming dalam video berkenaan.

Reaksi Netizen

Kisah kebaikan Abe Lah mendapat perhatian dan simpati pengguna media sosial, khususnya di TikTok. Banyak komen menyentuh tentang ketabahan dan kemurahan hati beliau walaupun rakyat Palestin sendiri sedang menghadapi situasi sukar akibat kekejaman Zionis Israel.

"Tengok muka dia pun nampak tahan kesedihan. Semoga arwah mak ciknya tenang di sana," komen seorang pengguna.

"Alhamdulillah, terima kasih Abe Lah. Al-Fatihah untuk mak cik yang syahid," tulis pengguna lain.

Netizen turut mendoakan kemenangan untuk rakyat Palestin sambil menzahirkan rasa sebak terhadap penderitaan saudara-saudara di sana.

Sumbangan Abe Lah bukan sahaja membantu mangsa banjir di Kelantan tetapi juga menjadi inspirasi tentang semangat kemanusiaan dan persaudaraan tanpa sempadan. - Media Telus

+ - reset