TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KUSKOP tawar moratarium 6 bulan kepada usahawan terjejas banjir

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 3 Dis - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga hingga enam bulan kepada usahawan yang terjejas banjir bagi meringankan beban ditanggung mereka.

KUSKOP dalam kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak dapat mencari rezeki akibat bencana berkenaan dan koperasi mengalami kerugian akibat kerosakan premis, peralatan dan stok barangan perniagaan.

Katanya, pelaksanaan moratorium kepada usahawan yang menjadi mangsa banjir sejajar dengan prinsip kerajaan.

"Dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha-usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar.

"Usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi-agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif-inisiatif banjir yang ditawarkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, ketika ini, misi bantuan awal KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah digerakkan di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 orang mangsa-mangsa banjir iaitu di tiga buah PPS di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

"Di Kedah, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang telah melaksanakan bantuan khidmat masyarakat," katanya.

Katanya, bekalan air bersih dari telaga boring milik koperasi dihantar kepada penduduk sekitar Jeneri, Kedah.

"Ia bertujuan meringankan beban penduduk dengan membekalkan air bersih setelah lebih 3 hari penduduk kampung terputus bekalan air.

"KUSKOP telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP," katanya. - Media Telus

+ - reset