TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis bersedia hadapi gelombang kedua banjir di Kelantan, segala aset sudah diaktifkan

By
|
Kongsi
image

TUMPAT 3 Dis - Polis Kelantan bersiap siaga menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang mungkin melanda negeri ini, dengan segala aset diperlukan sudah diaktifkan termasuk helikopter.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata helikopter itu kini berada di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa.

"Kita sudah bersiap sedia.... daerah mana akan difokuskan belum diputuskan. Apa pun kita akan rujuk jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dari semasa ke semasa," katanya.

METMalaysia semalam menjangkakan luruan monsun berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.

Selain itu, berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang hari ini sehingga awal pagi esok.

Mengenai situasi banjir di Kelantan, Mohd Yusoff berkata sejak semalam hujan tidak lagi melanda dan paras air di sesetengah tempat mulai menurun, manakala mangsa berlindung pusat pemindahan sementara (PPS) sudah berkurangan kepada hampir 50,000 berbanding lebih 90,000 sebelum ini.

"Sedikit sahaja berlaku penurunan sama ada paras air atau mangsa di PPS... kami juga menerima laporan mengenai dua rumah runtuh serta empat jalan rosak serta terputus di daerah ini.

"Empat jalan terbabit adalah Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu, Jalan Sungai Tapang Kampung Jubakar Pantai, jalan utama Kampung Tujoh dan Jalan Kampung Baru Nelayan.

"Menjelang gelombang kedua nanti, kita nasihatkan penduduk di lokasi berisiko untuk berpindah awal kerana ketika banjir lalu ramai berpindah tergesa-gesa," katanya memaklumkan pasukannya turut menjalankan rondaan cegah jenayah di lokasi banjir.

Terdahulu beliau hadir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjung, di sini mengiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli menyantuni mangsa, selain menyampaikan sumbangan.

+ - reset