Berita Berita
MAHB diswastakan, Anwar jamin keselamatan negara terus dikawal rapi
KUALA LUMPUR 3 Dis - Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak berkompromi dalam isu keselamatan walaupun pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dimuktamadkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar, berkata sebagai negara yang berdaulat, urusan di pintu masuk negara akan dikendalikan serta dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen (Imigresen) serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA).
Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi soal keselamatan di darat dan tempat awam di sekitar lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bertanggungjawab dari segi keselamatan di atas udara serta kawasan pengendalian bagasi.
"Apa yang lebih penting, jika atau selepas tawaran ini dipersetujui pemegang sahamnya, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang ditandatangani mereka bersama pihak kerajaan.
"Ini akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada.
"Selain itu, dari aspek kepentingan kepada negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wujudnya satu keperluan mendesak untuk operasi MAHB ditambah baik dan pelaburan dibuat secara lebih pantas, mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa hadapan Malaysia.
"Ini kerana rangkaian lapangan terbang yang kukuh dan diuruskan dengan baik akan meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perdagangan, perniagaan dan pelancongan di Malaysia, memenuhi agenda MADANI dan pelbagai dasar ekonomi kerajaan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia memberikan dan mendedahkan kepada Parlimen salinan perjanjian pemegang saham (MAHB) antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakan MAHB.
Perdana Menteri berkata, secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan dan penswastaan MAHB adalah satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan sebuah Konsortium yang diterajui dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini, iaitu Khazanah dan KWSP.
Jika tawaran itu diterima dan dipersetujui pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh Konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan, iaitu Khazanah sebanyak 40 peratus pegangan, KWSP (30 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta Global Infrastructure Partners (GIP) (30 peratus).
"Memandangkan ia adalah perjanjian yang membabitkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.
"Bagaimanapun, kerajaan sudah meneliti butiran berhubung pengambilalihan MAHB yang dibentangkan Konsortium berkenaan dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan.
"Perlu juga ditegaskan bahawa pihak kerajaan akan mengekalkan Saham Khasnya dalam MAHB," katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
December 4, 2024, 3:43 pm
Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia
December 4, 2024, 3:35 pm
Henti sebar maklumat tak sahih, Saifuddin nafi MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia bocor
December 4, 2024, 3:28 pm
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 Meningkat 0.7 Peratus
December 4, 2024, 3:28 pm
Mahkamah Rayuan benar Najib hadir prosiding pendengaran adendum esok
December 4, 2024, 3:12 pm
Guan Eng gesa BNM, KKM campur tangan premium insurans perubatan naik hingga 70 peratus
December 4, 2024, 3:01 pm
Kes bunuh Zaharif: 8 tulang rusuk patah, hati pecah dan abdomen parah punca kematian - Forensik
December 4, 2024, 3:00 pm
Peniaga Palestin sumbang shawarma buat mangsa banjir
December 4, 2024, 2:50 pm
MARA sedia latihan TVET untuk pekerja ekonomi Gig
December 4, 2024, 2:46 pm