TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru beroperasi dua tahun, 4 bilik pembedahan Pusat Jantung Hospital Serdang didakwa alami masalah teknikal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Dis - Baru dua tahun beroperasi, namun empat bilik pembedahan di Pusat Jantung Hospital Serdang dilaporkan sudah memgalami masalah teknikal.

Justeru, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat serta melakukan audit terhadap prosedur, termasuk mengenal pasti siapa menyebabkan perkara itu berlaku.

Beliau menzahirkan perasaan hairan bagaimana kemudahan menelan kos pembinaan sebanyak RM546 juta itu boleh mengalami masalah, sedangkan ia baru saja beroperasi pada Disember 2022.

Memetik laporan diterbitkan dua media mengenai isu dihadapi di hospital berkenaan, beliau meminta penjelasan daripada KKM sama ada benar empat bilik pembedahan di bangunan baharu terbabit tidak berfungsi.

Selain itu, katanya, satu daripada empat bilik pembedahan di bangunan lama Hospital Serdang juga dilaporkan berada dalam keadaan tidak berfungsi.

"Apabila Pusat Jantung ini dibuka, ia dikatakan mampu memberi rawatan bertaraf dunia kepada pesakit jantung di Malaysia dan untuk mengurangkan pergantungan pada Institut Jantung Negara (IJN).

"Namun, hanya selepas 18 bulan pada Mei 2024, keempat-empat bilik pembedahan telah tidak boleh digunakan kerana kesemuanya menghadapi masalah teknikal dan elektrik.

"Justeru, Puchong ingin mendapat pengesahan daripada KKM, adakah laporan ini benar?" katanya ketika membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, semalam.

Bee Yin berkata, pada Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pernah mengumumkan tiga daripada empat bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang sudah mula berfungsi sejak 5 Jun lalu.

Bagaimanapun pada 22 Julai lalu, katanya, sebulan selepas penyelenggaraan, bilik pembedahan itu terpaksa tutup lagi selama tiga minggu.

"Puchong ingin mendapatkan pengesahan daripada Menteri, berapakah bilik pembedahan di kedua-dua 'new wing' dan 'old wing' yang berfungsi sekarang?

"Puchong juga ingin bertanya sama ada fasiliti-fasiliti baharu lain di Pusat Jantung Hospital Serdang seperti Makmal Jantung Invasif (ICL), mesin MRI 3.0 Tesla dan lain-lain berfungsi dengan baik sekarang?

"Yang paling penting, Puchong ingin tanya Menteri, adakah perkara seperti ini boleh diterima sebagai norma di Malaysia? Sebuah Pusat Jantung yang makan kos rakyat sebanyak RM546 juta berdepan dengan masalah teknikal seperti ini," katanya.

Mengambil pengajaran daripada isu itu, Bee Yin mencadangkan KKM menyediakan satu 'dashboard' di ibu pejabat kementerian itu bagi tujuan memantau bukan sahaja bilik pembedahan tetapi juga fasiliti penting hospital yang lain.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk memantau sama ada fasiliti terbabit berfungsi dan memastikan aspek penyelenggaraan berkala dibuat.

"Ini bagi memastikan kementerian bukan hanya 'fire-fighting' dalam menyelenggara fasiliti kesihatan apabila ada laporan surat khabar, tetapi juga penyelenggaran boleh dibuat secara berkala dan sistematik," katanya.

+ - reset