Berita Berita
1MDB: Najib tegaskan Kerajaan Arab Saudi derma RM60.6 juta
KUALA LUMPUR 2 Dis - Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, bekas Menteri Arab Saudi, Adel Al-Jubair sendiri mengesahkan bahawa derma RM60.6 juta daripada Almarhum Raja Abdullah adalah tulen.
Najib berkata demikian ketika merujuk kepada video Al-Jubair daripada sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 5 April 2016, ketika menjawab soalan peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Disoal oleh Muhammad Shafee, adakah (video itu) yang dimaksudkan Najib bahawa ia pengesahan dari Arab Saudi bahawa mereka sedar mengenai derma itu dan ia adalah derma yang tulen, bekas perdana menteri itu menjawab, "Ya.".
Muhammad Shafee bagaimanapun memaklumkan bahawa rakaman video itu tidak dapat ditayangkan hari ini dan pihaknya akan membuat persediaan sewajarnya bagi tujuan itu.
Najib berkata, seingatnya keterangan pegawai penyiasat, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin mendedahkan wakil Putera Faisal Turki bin Bandar Al-Saud tidak pernah menafikan ia bukan derma dimasukkan dalam akaun peribadi AmIslamic miliknya.
Katanya, apabila dijelaskan kepada pegawai SPRM pada 2018 mengenai kepercayaannya ia adalah derma daripada Allahyarham Raja Abdullah melalui Putera Faisal dan Putera Saud bin Abdulaziz Al Saud, dia tidak diberitahu bahawa siasatan agensi itu mendedahkan sebaliknya.
"Berdasarkan kepada surat daripada Putera Saud pada 1 Februari 2011, dua dokumen pemindahan SWIFT menunjukkan kiriman wang yang dihantar ke akaun saya dilaksanakan oleh Putera Faisal dan Putera Saud dan perkara yang sama diproses oleh Bank Riyadh Arab Saudi.
"Seperti yang terbukti daripada tiga dokumen ini, kiriman wang Putera Faisal dan Putera Saud, pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011 berlaku selepas saya dimaklumkan melalui surat bertarikh 1 Februari 2011.
"Untuk semua kiriman wang ini, tidak sekali pun, sama ada Bank AmIslamic atau Bank Negara memberi tanda amaran sebagai transaski mencurigakan dan tidak membangkitkan mengenai kesahihannya atau kesahihan surat yang disertakan dengannya," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, asas kepercayaannya bahawa ia adalah derma daripada Almarhum Raja Abdullah, ialah beliau dimaklumkan sendiri oleh baginda dalam satu pertemuan pada 2010.
"Ketika itu baginda menyampaikannya melalui jurubahasa, bahawa niatnya untuk menyokong saya dari segi kewangan… saya kemudian menerima kiriman wang daripada Bank Riyadh.
"Saya juga menerima surat pengesahan Arab Saudi bahawa derma itu daripada baginda melalui wakil diraja yang kemudian dipanjangkan kepada AmBank dan Bank Negara.
"Pada pertemuan dengan baginda, saya diberitahu secara khusus bahawa saya akan dibantu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk memastikan saya akan dikembalikan sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan hari ini. Saya faham ini bantuan kewangan," katanya.
Najib berkata, kemudian pada tarikh yang berbeza, beliau dimaklumkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bahawa Almarhum Raja Abdullah akan menderma AS$1 bilion.
Katanya, beliau kemudian membuka akaun di Bank AmIslamic Berhad atas cadangan bekas ketua setiausaha sulitnya (ketika itu) Allahyarham Datuk Azlin Alias untuk menerima derma politik berkenaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Berita Harian
Berita berkaitan
December 4, 2024, 4:32 pm
Kalah saman fitnah, mahkamah arah Siti Mastura bayar Kit Siang, Teresa, Guan Eng RM815,000
December 4, 2024, 3:43 pm
Anwar bimbang gelombang kedua banjir, arah agensi berkait siap sedia
December 4, 2024, 3:35 pm
Henti sebar maklumat tak sahih, Saifuddin nafi MyKad milik 17 juta rakyat Malaysia bocor
December 4, 2024, 3:28 pm
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2023 Meningkat 0.7 Peratus
December 4, 2024, 3:28 pm
Mahkamah Rayuan benar Najib hadir prosiding pendengaran adendum esok
December 4, 2024, 3:12 pm
Guan Eng gesa BNM, KKM campur tangan premium insurans perubatan naik hingga 70 peratus
December 4, 2024, 3:01 pm
Kes bunuh Zaharif: 8 tulang rusuk patah, hati pecah dan abdomen parah punca kematian - Forensik
December 4, 2024, 3:00 pm
Peniaga Palestin sumbang shawarma buat mangsa banjir
December 4, 2024, 2:50 pm