TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Trump lantik Massad Boulos penasihat Asia Barat

By
|
Kongsi
image

WASHINGTON, 2 Dis - Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah melantik usahawan Lubnan-Amerika, Massad Boulos, sebagai penasihat kanan presiden untuk urusan Arab dan Asia Barat.

"Saya dengan bangga mengumumkan bahawa Massad Boulos akan berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Presiden mengenai urusan Arab dan Asia Barat," kata Trump di Truth Social mengenai pelantikan ini, menambah seorang lagi ahli keluarga ke dalam jawatan penting.

Pelantikan ini menyaksikan Trump memberikan jawatan utama di Rumah Putih kepada bapa mentua anak perempuannya, Tiffany.

Anak lelaki Boulos, Michael, telah berkahwin dengan Tiffany.

Boulos adalah utusan utama untuk kempen Trump, membantu menggerakkan pengundi Arab-Amerika dan Muslim, yang ramai di antara mereka tidak berpuas hati dengan sokongan teguh Presiden Joe Biden terhadap Israel dalam peperangan Gaza.

Sebagai ahli perniagaan, Boulos akan mengurus portfolio yang mencabar, termasuk konflik Israel yang masih berlarutan di Gaza, gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hizbullah di Lubnan, serta pertempuran dengan pasukan pemberontak di Syria yang menentang kerajaan Bashar al-Assad.

Semalam, Trump melantik eksekutif hartanah, Charles Kushner, bapa kepada menantu lelakinya, Jared, sebagai duta AS ke Perancis.

Keputusan ini menunjukkan Trump mengabaikan pengalaman atau kepakaran sebagai kriteria untuk menyertai pasukan pentadbirannya.

"Massad adalah seorang peguam yang berjaya dan pemimpin yang sangat dihormati dalam dunia perniagaan, dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa," kata Trump mengenai pelantikan Boulos sebagai penasihat Timur Tengah.

"Dia telah lama menjadi penyokong nilai-nilai Republikan dan Konservatif, aset kepada kempen saya, dan berperanan penting dalam membina koalisi besar dengan Komuniti Arab Amerika."

Trump menyifatkan Boulos sebagai "seorang pembuat perjanjian."

Trump sering berjanji semasa kempen untuk mengakhiri segera peperangan di Gaza, Ukraine, dan di tempat lain, tanpa menjelaskan bagaimana beliau akan melakukannya.

Dalam wawancara dengan Sky News yang berpusat di UK pada bulan Oktober lalu, Boulos menyatakan kepentingan menyelesaikan peperangan "dengan cepat."

"Apa yang dimaksudkan dengan menyelesaikannya dengan cepat adalah, anda mempunyai beberapa sasaran ketenteraan yang perlu dicapai, iaitu untuk menghapuskan infrastruktur Hamas dan kemampuan mereka untuk melancarkan serangan baru dan sebagainya," katanya.

"Marilah kita bergerak ke arah keamanan, dan marilah kita bergerak ke arah membina semula Gaza dan membina semula Lubnan," tambahnya.

"Kami mahu Gaza menjadi makmur. Kami mahu rakyat Palestin menjadi makmur, hidup dalam keamanan, hidup dalam harmoni, berdampingan dengan orang Israel dan dengan keselamatan penuh di kedua-dua belah pihak."

Keluarga Boulos mengendalikan sekurang-kurangnya dua syarikat pengedaran alat ganti automotif di Nigeria.

Perniaga ini, seorang anggota komuniti Kristian Maronit, pernah bertanding untuk kerusi parlimen di Lubnan.

Trump mula menerima kritikan kerana beberapa pelantikan kontroversi untuk jawatan penting dalam pentadbiran Rumah Putih yang akan datang.

Kushner yang lebih berusia, yang juga seorang peguam, pernah dipenjarakan kerana penipuan cukai. Trump memberi pengampunan kepadanya pada tahun 2020 menjelang penghujung penggal pertamanya.

Trump juga melantik penyokong setia Kash Patel sebagai pengarah baru Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), satu langkah yang akan menggantikan pemimpin agensi itu sebelum tamat penggalnya.

Patel, seorang pembela tegar presiden yang akan datang, menyokong pandangan keras Republikan mengenai "negara dalam negara" anti-Trump yang didakwa terdiri daripada birokrat kerajaan yang berat sebelah yang berusaha menyekat Trump dari belakang tabir, bahkan menulis buku mengenai perkara ini. - AFP

+ - reset