Berita Jenayah
Kastam gagalkan cubaan seludup minuman keras, beras basmathi bernilai RM2.09 juta
Oleh NUR LELA ZULKIPLI
PETALING JAYA 27 Nov - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit 1 Kuala Lumpur merampas minuman keras dan beras basmathi dengan nilai rampasan dan duti lebih RM2.09 juta yang cuba diseludup ke negara ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, berkata rampasan dilakukan dalam tiga serbuan berasingan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang; Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur dan Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor.
Beliau berkata rampasan membabitkan beras basmathi, minuman keras jenis 'hard liquor' dan bir dengan nilai rampasan RM516,884 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM1,577,730.
"Serbuan pertama membabitkan rampasan beras jenis basmathi dalam serbuan ke atas satu kontena yang dibawa dari India di Pelabuhan Utara, Pelabuhan pada jam 6 petang, 30 September lalu.
"Pemeriksaan menemukan produk makanan disyaki beras putih jenis basmathi seberat 15,390 kilogram dengan anggaran nilai RM227,000 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM91,000," katanya dalam sidang media di Wisma JKDM Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Katanya, siasatan mendapati ejen penghantaran mengikrarkan muatan kontena sebagai 'assorted food bag' bagi mengelak mengemukakan lesen import kerana pengimportan beras perlu mendapati lesen dari Padiberas Nasional Berhad (BERNAS)
"Muatan beras yang setiap kampit seberat 30 kilogram itu didapati sengaja diletakkan di bahagian belakang muatan kontena bersama barangan makanan yang lain.
"Berikutan itu, kita memanggil seorang ejen penghantaran, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an untuk membantu siasatan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.
Beliau berkata beras seludup berkenaan dipercayai akan dipasarkan kepada peniaga restoran dan kedai makan sekitar Lembah Klang.
Serbuan kedua pula, katanya dilakukan ke atas sebuah premis di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur pada 2.30 malam, 7 Oktober lalu membabitkan rampasan 3,000 liter minuman keras jenis 'hard liquor'.
"Kesemua minuman keras dianggarkan bernilai RM100,000 membabitkan nilai duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM395,000 dan ia dipercayai untuk edaran tempatan.
"Produk minuman keras itu dipercayai diimport daripada Scotland dan ada juga buatan tempatan, dan pemeriksaan mendapati setem cukai yang ditampal pada botol minuman keras itu adalah palsu," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihaknya sedang berusaha mengesan pemilik premis berkenaan.
"Seterusnya, pada 26 Oktober lalu, kira-kira jam 9:45 malam, kita berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam melalui serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor.
"Hasil pemeriksaan rapi terhadap gudang itu menemukan sejumlah minuman keras import jenis 'bir' berjumlah 27,792 liter dengan anggaran nilai RM189,884 membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan RM1,091,730," katanya.
Selain minuman keras, katanya tiga lori yang masih bermuatan jenis minuman keras yang sama turut dijumpai berada di kawasan gudang terbabit.
"Kita turut menahan empat individu, iaitu dua lelaki tempatan berperanan sebagai pemandu lori dan dua lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai penjaga gudang, kesemua mereka berusia lingkungan 40-an.
"Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan premis gudang di kawasan perindustrian bertujuan mengaburi pihak berkuasa bagi menjalankan aktiviti pengedaran minuman keras import yang tidak berkastam," katanya.
Tambah beliau, kesemua tangkapan dibebaskan selepas soal siasat selesai dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 termasuk mengesan pemilik premis. - Media Telus
Berita berkaitan
December 4, 2024, 12:15 pm
Guru rugi RM200,000 ditipu sindiket penyamaran
December 4, 2024, 10:11 am
Polis tembak mati 3 penjenayah terbabit kes bunuh
December 4, 2024, 10:04 am
Wanita ditahan dera anak kandung, simbah air panas hingga parah
December 3, 2024, 11:01 am
(VIDEO) Pemandu Honda Civic 'cucuk' ambulans ditahan
December 3, 2024, 10:23 am
Ingin keluar rumah, tinggal berasingan dipercayai punca Zahnita dipukul suami
December 2, 2024, 3:44 pm
Sindiket sorok dadah dalam bungkusan ubat cirit-birit elak dicekup polis
November 27, 2024, 1:14 pm
Remaja 18 tahun antara 361 individu ditahan polis terbabit kegiatan Ah Long
November 27, 2024, 11:01 am
Polis tahan lelaki serang individu tegur bunyi bising ekzos
November 26, 2024, 4:24 pm