TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Remaja 15 tahun diculik, tujuh suspek ditahan

By
|
Kongsi
image

KLANG 26 Nov. - Polis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang diculik dan menahan tujuh individu, termasuk dua wanita, yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata bapa mangsa membuat laporan polis selepas anak perempuannya keluar dari rumah di Pangsapuri Lorong Berembang, Taman Kem, Pelabuhan Klang, pada 16 November dan tidak pulang sehingga petang.

Menurut beliau, bapa mangsa turut menerima pesanan suara melalui telefon mangsa yang menyatakan lokasi palsu dan meminta beliau mengambil anaknya di kawasan Subang. Namun, ketika tiba di lokasi tersebut, mangsa tiada di situ.

“Suspek kemudiannya menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp, mengugut untuk menjual mangsa jika bayaran ganti rugi tidak dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah pangsapuri di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, pada 18 November jam 11 malam. Mangsa berjaya diselamatkan, manakala lima suspek, tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 15 hingga 19 tahun, ditahan.

Serbuan susulan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada awal pagi 19 November membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berusia 16 dan 18 tahun.

Semakan polis mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah. Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik atau memikat kanak-kanak perempuan bawah umur tanpa kebenaran penjaga sah.

Suspek yang berusia bawah 18 tahun direman selama sehari, manakala selebihnya direman selama empat hari. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

Polis menasihati orang ramai agar sentiasa memantau anak-anak dan melaporkan sebarang insiden mencurigakan kepada pihak berkuasa. - Media Telus

+ - reset