TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sanusi lebih layak jadi calon PM Pas

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor lebih sesuai dan berpotensi untuk menjadi calon Perdana Menteri Pas kerana dilihat lebih ‘manusia’.m

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, calon dari Terengganu iaitu Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kurang digemari kerana beberapa keputusan yang dibuat tidak disenangi, seperti sebat di khalayak ramai.

“(Sebenarnya) Tiada daripada PN (Perikatan Nasional) yang boleh jadi PM dan menandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tak sokong calon PM dari Terengganu kerana orang khalwat pun, dia nak sebat di khalayak ramai, di masjid.

“Takkanlah PM Malaysia daripada kumpulan ini. Tak boleh, dunia tak boleh terima, rakyat tak boleh terima. Kalau Pas nak calon PM sendiri, pilihlah orang lain. Tak kiralah siapa, tapi bagi saya nak lawan Anwar ni susah.

“Pas sendiri, teori saya, dia nak calon (daripada) mereka ni sebab apa? Mereka tak yakin dengan Bersatu tapi kalau tak ada Bersatu, Pas sendiri pun tak cukup. Jadi, saya tak tahu kenapa ditimbulkan isu ini,” katanya dalam The Zaid Ibrahim Podcast.

Tambah Zaid, walaupun Ahmad Samsuri lebih kanan daripada Muhammad Sanusi dalam parti iaitu sebagai Naib Presiden, beliau melihat Sanusi lebih layak dan tidak ekstrem.

“Saya suka orang Pas yang nampak lebih manusia daripada malaikat. Sanusi lebih relaks, (nampak) karaoke pun dia suka, suka berkawan, dengan wanita pun dia (boleh) rapat, boleh gurau.

“Kalau nak pilih Perdana Menteri daripada Pas, saya pilih Sanusi sebab dia faham masalah rakyat. Dia berpijak di atas bumi, baik daripada segi politik dan cara. Saya sendiri tak kenal Sanusi tapi daripada apa yang dibaca, (dia amal) politik rakyat,” jelasnya.

Zaid menegaskan, jika Pas ingin menang pilihan raya, tidak cukup sekadar menunjukkan bahawa mereka adalah parti ‘malaikat’.

Menurutnya, sebagai parti politik, Pas sepatutnya cuba untuk mendapatkan undi terbanyak dan tidak bertindak seperti parti ulama yang menekankan tentang dosa dan pahala.

Isu berkaitan calon PM bermula apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri dari PN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam satu kenyataan menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN, sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon PM gabungan itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga dipetik berkata, Pas layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara. - Media Telus

+ - reset