Berita Berita
Penguatkuasaan papan tanda dwibahasa di ibu negara cetus persepsi negatif pelancong - Menteri
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing.
Katanya, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
"Beberapa pelawat antarabangsa bertanya secara langsung kepada saya, adakah Malaysia sebuah negara yang rasis atau ekstrem agama?
"Keraguan ini secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.
"Realitinya, kita adalah negara berbilang kaum, budaya dan agama. Kita tidak boleh mencipta imej negatif palsu yang bercanggah dengan realiti ini," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL, bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis.
Sehubungan itu, King Sing menggesa DBKL memberi tumpuan kepada inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat daripada mencetuskan kontroversi melalui penguatkuasaan yang melampau.
"Saya mencadangkan DBKL bekerjasama dengan kempen Tahun Melawat Malaysia untuk menambah baik infrastruktur asas bandaraya dan mewujudkan lebih banyak tarikan untuk pelancong, menawarkan mereka pengalaman baru dan menarik untuk diterikai di Kuala Lumpur.
"Daripada menampakkan imej autoritarian dan terkebelakang, DBKL seharusnya menjiwai semangat ketamadunan dan keterbukaan ibu kota," katanya.
Langkah itu kata beliau wajar dilakukan memandangkan tahun depan Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, dengan pelbagai penganjuran acara akan diadakan di ibu negara, selain kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Ini memberikan peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global. Saya beri amaran bahawa kontroversi perkauman atau agama yang berterusan akan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa, berpotensi memberi impak negatif terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 pula berfungsi sebagai platform penting untuk menyerlahkan identiti berbilang budaya Malaysia. Inisiatif seperti papan tanda berbilang bahasa bukan saja mencerminkan sikap mesra terhadap pelancong antarabangsa tetapi juga membentuk elemen teras daya tarikan budaya Malaysia.
"Dengan menerima dan mempromosikan kepelbagaian ini, Malaysia boleh mengubah warisan pelbagai budaya kepada kelebihan ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan negara," katanya. - Berita Harian
Berita berkaitan
November 24, 2024, 4:11 pm
Sanusi lebih layak jadi calon PM Pas
November 24, 2024, 3:25 pm
Gurau kasar ‘tumbuk bahu’ Norazlinah, Sarifuddin minta maaf
November 24, 2024, 3:14 pm
4 ditahan memandu bawah pengaruh alkohol
November 24, 2024, 10:44 am
Waktu kerja empat hari setengah tertakluk pada justifikasi kerajaan negeri
November 23, 2024, 12:32 pm
Kenaikan tambang bas sekolah tak boleh dielak
November 23, 2024, 12:07 pm
3 termasuk dua aggota polis cedera, kereta peronda dirempuh pacuan empat roda
November 23, 2024, 11:48 am
Mangsa banjir di Semenanjung meningkat, Terengganu paling terkesan
November 22, 2024, 11:08 pm
Pembentangan RUU Pekerja Gig bulan depan ditangguh - Fahmi
November 22, 2024, 10:33 pm