Berita Berita
SPRM teruskan siasatan, jejak kewangan aset Tun Daim
KUALA LUMPUR 22 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pada Februari 2023, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers.
Katanya, siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Daim memegang jawatan sebagai menteri.
"Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 dikeluarkan kepada Daim pada 7 Jun 2023.
"Notis ini mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
"Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali, dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023, dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.
"Pada 29 Januari 2024, Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank," katanya.
SPRM berkata kenyataan media ini bertujuan memperjelas dan membetulkan dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan di media serta media sosial berkaitan isu berkenaan.
Selepas Daim meninggal dunia pada 20 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Allahyraham daripada pertuduhan gagal mematuhi notis itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Bagaimanapun, SPRM berkata, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.
Katanya, siasatan itu turut membabitkan isteri Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarga beliau dengan siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara.
"Penyelidikan jejak kewangan di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa.
SPRM meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan.
Berita berkaitan
November 23, 2024, 12:32 pm
Kenaikan tambang bas sekolah tak boleh dielak
November 23, 2024, 12:07 pm
3 termasuk dua aggota polis cedera, kereta peronda dirempuh pacuan empat roda
November 23, 2024, 11:48 am
Mangsa banjir di Semenanjung meningkat, Terengganu paling terkesan
November 22, 2024, 11:08 pm
Pembentangan RUU Pekerja Gig bulan depan ditangguh - Fahmi
November 22, 2024, 2:51 pm
Lelaki korek bebola mata ketika gaduh mengaku bersalah
November 22, 2024, 2:33 pm
Waran tangkap terhadap PM Israel satu kemenangan - Anwar
November 22, 2024, 2:14 pm
Guna dron pantau anggota, pegawai polis 'curi tulang', main golf ketika bertugas
November 22, 2024, 1:36 pm
8 guni ubat haiwan seludup bernilai RM434,200 ditemui di tebing Sungai Golok
November 22, 2024, 1:13 pm