TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Guna dron pantau anggota, pegawai polis 'curi tulang', main golf ketika bertugas

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Nov - Bukit Aman mula menggunakan dron untuk menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ‘curi tulang’ ketika bertugas, termasuk keluar pejabat untuk bermain golf.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan bahawa tindakan ini diambil atas arahan pihaknya untuk memastikan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) lebih proaktif dalam memantau dan mengambil tindakan atas salah laku dalam kalangan warga PDRM.

"JIPS juga akan menjalankan siasatan secara terus tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak berhubung salah laku membabitkan pegawai dan anggota PDRM," katanya.

Razarudin menegaskan bahawa JIPS diarahkan untuk lebih proaktif dalam mengambil tindakan terhadap warga PDRM yang melakukan salah laku untuk memastikan tahap integriti dan tatakelola mereka sentiasa baik.

"JIPS kini menggunakan dron untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku seperti keluar dari pejabat untuk bermain golf. Kami akan mengambil tindakan tegas," ujarnya.

Tambahnya, semua pegawai JIPS di kontinjen, Bukit Aman, dan daerah sudah mula bergerak dan memantau sendiri pegawai yang terbabit dalam salah laku, seperti pergi ke karaoke, berfoya-foya, dan berbelanja melebihi kemampuan.

Razarudin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih, Sarjan Pelatih, dan Konstabel Pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Segamat, Dungun, dan Bukit Sentosa 2024 di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak JIPS juga telah menetapkan bahawa Peraturan 3C Peraturan Pegawai Awam akan dilaksanakan terhadap penyelia yang gagal menyelia dengan baik.

"Tiada guna jika penyelia gagal menjalankan tugas mereka dengan baik. Selain itu, proses isytihar harta juga akan disemak oleh pihak JIPS untuk memastikan harta yang dimiliki oleh pegawai dan anggota polis adalah dalam kemampuan mereka. Jika tidak, kami akan mengambil tindakan tegas, termasuk memindahkan tempat tugas dan mengarahkan mereka menjual harta yang tidak mampu dimiliki," jelasnya.

Majlis hari ini merupakan kali pertama menggabungkan empat PULAPOL iaitu PULAPOL Kuala Lumpur, Segamat, Dungun, dan Bukit Sentosa.

"Penganjuran perbarisan tamat latihan PDRM kali ini menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK inspektor, sarjan, dan konstabel daripada empat PULAPOL tersebut," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan PDRM tidak berkompromi dengan warga pasukan yang terbabit dalam jenayah atau salah laku.

"Arahan Ketua Polis Negara Bilangan 191 mengenai 'Total Enforcement' ke atas Peraturan 3C Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipatuhi sepenuhnya. Arahan ini menekankan aspek penyeliaan oleh pegawai polis, antaranya menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) PDRM secara 'close monitoring'," tambahnya.

+ - reset