TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PDRM diberi masa 6 bulan siasat kematian Teoh Beng Hock - Mahkamah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 21 Nov - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock dalam masa enam bulan.

Beng Hock ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh ibu bapa mendiang.

Ketika kejadian, mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Wan Ahmad Farid dalam keputusannya berkata, tuntutan dan relif yang dipohon oleh ibu bapa mendiang, dari segi intipatinya adalah dalam domain undang-undang awam.

Hakim itu berkata, berikutan itu permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan pemohon adalah kaedah permulaan yang betul dalam keadaan ini.

Beliau berkata, kegagalan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM dan PDRM melengkapkan siasatan 'tanpa penangguhan yang tidak perlu', melanggar Seksyen 120(1) Kanun Prosedur Jenayah dan oleh itu permohonan berkenaan boleh didengar dan diputuskan melalui semakan kehakiman.

Katanya, mahkamah mendapati siasatan ke atas kematian mendiang tidak dijalankan dalam jangka masa munasabah.

"Dalam keadaan itu, saya membuat perintah dalam bentuk mandamus untuk mendesak responden pertama menyelesaikan siasatan ke atas kematian mendiang dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah ini dibuat.

"Dalam kes Teoh Meng Kee di Mahkamah Rayuan, mahkamah itu mendapati bahawa kepentingan ahli keluarga dan kepentingan awam memerlukan kes itu disiasat lebih lanjut oleh pihak berkuasa.

"Adalah menjadi tanggungjawab mahkamah ini untuk mengikut keputusan itu dengan mengarahkan supaya siasatan disiapkan dalam masa yang ditetapkan," katanya.

Pada 16 Jun tahun lalu, Leong Hwee dan Shuw Hoi, 70, memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas Mahkamah Tinggi menolak bantahan awal Pejabat Peguam Negara.

Dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Melalui permohonan yang difailkan pada 4 Januari 2022, pasangan itu memohon perisytiharan bahawa kegagalan responden pertama, kedua dan ketiga untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka dalam jangka masa munasabah, melanggar Seksyen 20(3) Akta Polis 1967.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa PDRM cuai serta cuba menafikan hak perlembagaan mereka di bawah Artikel 8 Perlembagan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

Selain itu, mereka memohon perintah mandamus supaya Ketua Polis Negara melengkapkan siasatan kematian mendiang dalam tempoh sebulan dari tarikh penghakiman.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada tahun 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terbabit dalam kematiannya.

Pada 21 Julai 2011, RCI memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

+ - reset