TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johor teliti cadangan beri kakitangan awam kerja 4 hari setengah seminggu

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 21 Nov - Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada hanya empat hari setengah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.

Beliau berkata, ia termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau online.

"Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat antara jam 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang.

"Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan.

"Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.

"Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis adalah bermula jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.

+ - reset